Sabtu, 28 Januari 2012

Doktor kecewa Mais mahu roboh 26 rumah wakaf



Doktor kecewa Mais mahu roboh 26 rumah wakaf

KLANG - Seorang doktor mendakwa 26 unit rumah yang diwakafkannya untuk golongan yang memerlukan akan dirobohkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi memberi laluan kepada projek pembinaan 60 unit pangsapuri empat tingkat.

Pewakaf tersebut Dr Kamarolzaman Hajar, 53, berkata, beliau menanggung kos membina rumah berkenaan di atas tanah seluas 0.4 hektar miliknya yang siap pada tahun 2000 sebelum menyerahkannya kepada Mais.

Beliau turut kecewa kerana rumah berkenaan yang diniatkan untuk diwakafkan bagi membantu anak yatim, warga emas, golongan muaalaf dan yang memerlukan berada dalam keadaan terbiar dan uzur tanpa penyelenggaraan.

Katanya, rumah-rumah berkenaan dibina lengkap dengan kemudahan asas serta berpagar namun kini rumah tersebut mengalami kerosakan apabila pagar, pintu, besi tingkap, cermin, lampu, kipas, kabel elektrik telah hilang selain siling dan struktur dinding dipecahkan.
"Saya tidak faham mengapa Mais membiarkan rumah  ini sehingga menjadi seperti sekarang. Bagi saya harta wakaf adalah satu tanggungjawab yang  perlu dipegang dengan amanah bukan dibiarkan tanpa diselenggara," katanya ketika membawa wakil media ke lokasi rumah berkenaan di sini, hari ini.

Dr Kamarolzaman nekad untuk mengambil alih semula pengurusan kesemua rumah berkenaan termasuk sebuah banglo di hadapan deretan rumah berkenaan untuk dijadikan penginapan untuk anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan.
Beliau juga bersedia menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengadu perkara tersebut kerana kecewa apabila tiada sebarang tindakan diambil pihak kerajaan negeri Selangor mahupun Mais walaupun telah diadukan beberapa kali sebelum ini.

Sementara itu, Mais dalam satu kenyataan semalam berkata, premis berkenaan telah dikosongkan pada awal tahun lepas bagi tujuan menjalankan kerja-kerja penyelengaraan secara berfrasa selepas mendapati ia tidak selamat diduduki kerana tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setiausaha Mais Mohd Haniff Hassan berkata, pihaknya sedang mencari dana tambahan bagi menampung kos pembaikan dan penyelengaraan premis berkenaan manakala semua barangan seperti pintu, jeriji besi, kipas, tangki air dan peralatan lain disimpan bagi mengelak kecurian.

"Banglo di kawasan perumahan terbabit telah diserahkan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk dijadikan rumah warga emas. Manakala semua wang sewaan premis sejak diwakafkan dan diserahkan kepada Mais disalurkan ke Akaun Manfaat Wakaf.
"Sepanjang tempoh penyewaan premis ini iaitu sehingga penghujung tahun 2010, langkah keselamatan dan penyelengaraan premis dilaksanakan secara berkala," katanya.

Mohd Haniff berkata, Mais berusaha untuk membaiki premis berkenaan dan komited melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah wakaf dan usaha itu berterusan melalui penubuhan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) yang berperanan memajukan hartanah wakaf. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...