Sabtu, 28 Januari 2012

Sara 1Malaysia tawar pulangan 32.16%



Sara 1Malaysia tawar pulangan 32.16%

KUALA LUMPUR - Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia), yang baru dilancarkan dan diuruskan  syarikat tujuan khas, Malaysian Development Holdings Sdn Bhd (MDHSB), akan menawarkan pulangan pelaburan (ROI) 32.16 peratus setahun.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah berkata, daripada ROI 32.16 peratus setahun itu, pulangannya adalah  RM134 dengan RM84 akan dibayar kepada bank.


Jadi jumlah keuntungan yang akan diperoleh adalah RM50 sebulan.

Dalam pada itu, MDHSB hari ini menandatangani satu perjanjian dengan empat bank tempatan.
Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional akan menawarkan pinjaman pelaburan bagi skim itu, kata Hamad Kama Piah.

Pembiayaan keseluruhan ditawarkan ialah RM500 juta dengan 100,000 isi rumah dijangka mengambil bahagian di dalam skim itu, katanya selepas majlis penadatanganan perjanjian itu.
Permohonan menyertai skim yang dilaksanakan PNB itu dibuka mulai Isnin dan dilanjutkan selama setahun atau sehingga penuh.
Pemohon yang layak boleh memohon pinjaman pelaburan RM5,000 yang akan dilaburkan di dalam Amanah Saham 1Malaysia, dengan tempoh pembayaran balik selama lima tahun.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang berpendapatan isi rumah RM500 hingga RM3,000 sebulan dan tidak mendapat manfaat skim khas yang lain yang ditawarkan oleh kerajaan dan oleh Amanah Saham Nasional Bhd.

Hamad Kama Piah berkata, skim baharu itu bukan "skim cepat kaya" tetapi satu skim untuk mendidik dan membantu kumpulan berpendapatan rendah untuk melabur kerana mereka tidak berupaya di segi kewangan.

Bagi yang tidak mempunyai slip gaji, mereka perlu menyediakan surat pengesahan gaji dari pihak berkaitan, katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...