Sabtu, 4 Februari 2012

Ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (Lembaga) meluluskan permohonan TOL Syarikat Lynas




Kelulusan lesen sementara kepada Lynas selepas ambil kira semua aspek

DENGKIL: Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) hari ini menegaskan bahawa keputusan meluluskan pemberian lesen kendalian sementara (TOL) kepada Syarikat Lynas dibuat selepas mengambil kira semua aspek.

Ketua Pengarah AELB, Datuk Abdul Aziz Raja Adnan, berkata antara perkara yang diberi perhatian ialah aspek keselamatan, standard dan peraturan serta garis panduan yang ditetapkan oleh negara dan antarabangsa.
Operasi syarikat itu akan dikawal rapi memandangkan lesen itu adalah sementara dan bukannya lesen terbuka kepada Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) untuk beroperasi di Gebeng, Pahang, katanya pada sesi taklimat media di sini, hari ini.
Beliau berkata TOL boleh digantung atau dibatal jika syarikat itu tidak memenuhi syarat atau garis panduan yang ditetapkan serta permohonan lesen seterusnya juga tidak akan dipertimbangkan oleh lembaga itu.

"Mengikut syarat itu, mereka mesti memenuhi beberapa syarat sebelum kami keluarkan lesen. Pada masa ini, lesen belum dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata kelulusan TOL juga tidak bermakna AELB akan mengeluarkan lesen tetap operasi secara automatik kepada Lynas selepas tempoh TOL berakhir, sebaliknya syarikat itu perlu mengemukakan permohonan lain.

Abdul Aziz berkata permohonan baru itu perlu disertakan segala maklumat dan data berkaitan yang dikehendaki oleh AELB bagi membolehkan ia diputuskan sama ada diluluskan atau tidak.
"Ia adalah satu proses yang sangat rumit...tapi kami di sini untuk menjamin keselamatan awam dan alam sekitar. Kami perlu mengadakan sistem pengawasan sebelum ia boleh dimulakan," katanya.

Pada 30 Januari lalu, Mesyuarat Ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (Lembaga) meluluskan permohonan TOL Syarikat Lynas dengan beberapa syarat, antaranya pihak Lynas perlu kemukakan semua aspek berkenaan Permanent Disposal Facility (PDF).

Selain itu, AELB berhak melantik perunding bebas untuk menilai kepatuhan Syarikat Lynas terhadap standard dan peraturan yang ditetapkan dan kosnya ditanggung oleh pemegang lesen.

Semalam, Lynas Corporation Ltd menyambut baik keputusan AELB Malaysia memberikan lesen TOL itu. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...