Sabtu, 4 Februari 2012

Barisan Nasional (BN) berjaya mentadbir urus kekayaan negara dengan baik - PM




Barisan Nasional (BN) berjaya mentadbir urus kekayaan negara dengan baik - PM

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya mentadbir urus kekayaan negara dengan baik sehingga dapat melaksanakan pelbagai program kebajikan yang membela rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Perdana Menteri berkata semua program itu dilaksanakan tanpa perlu meminjam daripada institusi kewangan luar seperti Bank Dunia mahupun Tabung Mata Awang Antarabangsa (IMF) seperti yang didakwa oleh pembangkang.
"Ini semua kita mampu buat sebab tadbir negara dengan baik sehingga membolehkan kekayaan dapat dipindahkan kepada rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di Padang Astaka Majlis Daerah Marang di sini hari ini.
Najib berkata, sejak mengambil alih pucuk pemerintahan negara tiga tahun lalu, beliau sering mengingatkan wakil-wakil rakyat supaya sentiasa merasai denyut nadi rakyat dengan mengutamakan kebajikan rakyat dalam dasar program membela rakyat tanpa memilih bulu dan fahaman politik.

"Kita beri rakyat Bantuan Rakyat 1Malaysia, cuba bayangkan mana ada kerajaan lain di dunia ini yang 80 peratus isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dapat bantuan RM500 kecuali kerajaan kita (BN).

"Kita tidak pilih bulu, orang yang tidak sokong kita pun dapat juga. Dia kutuk dan maki hamun kita, tetapi bila nampak duit, dia yang pertama sekali yang datang beratur, sedangkan orang kita yang berhujan dan berpanas dalam menegakkan kerajaan," katanya.

Dalam tempoh tiga tahun ini, selain BR1M, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk rakyat termasuk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan menurut Perdana Menteri jika diberi mandat untuk terus memerintah negara dalam pilihan raya umum akan datang, lebih banyak lagi program kebajikan seumpamanya untuk rakyat akan dilaksanakan.
"Apabila menyebut soal kepimpinan, ia berkait dengan soal kemampuan. BR1M kita mampu laksanakan...kita buat projek besar di Kuala Lumpur sebab hendak rangsang ekonomi dan dengan pertambahan hasil lima hingga enam peratus setahun kita bahagi pula kepada rakyat.

"Cukai pendapatan kita 2010-2011 bertambah RM26 bilion setahun dan daripada jumlah itu kita beri RM2.6 bilion untuk bantuan persekolahan RM100 (setiap pelajar), baucar belian buku kepada pelajar STPM dan pelajar institusi pengajian tinggi sebanyak RM200," katanya. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...