Rabu, 8 Februari 2012

Pas: Jika PR menang, Salahuddin MB Johor



Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor, sekiranya Pas menguasai negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Membayangkan hasrat itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, ‘tuan punya badan’ juga telah memberi lampu hijau bersetuju untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan kerusi mana yang akan diberikan kepada Salahudin sehingga diumumkan pucuk pimpinan parti kelak.

“Keputusan ini bukan lagi khabar angin. Memang benar dan Salahuddin akan kembali ke negeri kelahirannya untuk menguatkan Pas dan pada masa sama memberi motivasi kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) di selatan Semenanjung,” katanya.

Mahfodz berkata, Pas akan menggunakan 33 kerusi yang dipertandingkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) dan sembilan di Parlimen

“Sudah tentu dia diletakkan di kawasan yang boleh dikatakan selamat, bukan ‘rumah sembelihan’ walaupun tidak semestinya kawasan majoriti Melayu,” katanya.

Ditanya mengapa Pas Johor berminat mencalonkan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu sebagai calon menteri besar, beliau berkata, Salahuddin mempunyai pengalaman untuk membantu Pas negeri itu.

“Pengalaman beliau di peringkat Pusat amat penting untuk membantu kemenangan parti ini memandangkan musuh kami, BN juga mempunyai tokoh hebat,” katanya.

Ditanya apakah yang menjadi ‘kayu ukur’ kepada kekuatan kepada Pas di Johor, beliau berkata, undi kepada pembangkang khususnya Pas semakin meningkat pada pilihan raya umum yang lalu.

Malah beliau menyangkal dakwaan, tindakan meletakkan Salahuddin bertanding di Johor sebagai usaha meminggirkan golongan ulama.

“Tidak ada niat kami buat begitu dan ia sebenarnya tidak betul. Lagipun Salahuddin sendiri mahu menyumbang jasa dan memastikan banyak kerusi akan ditawan,” katanya.

Namun nada berbeza diutarakan Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau apabila beliau mengatakan isu bakal menteri besar tidak pernah dibincangkan di peringkat pimpinan pakatan di negeri itu.

“Saya khuatir sekiranya banyak cakap mengenai calon yang akan mengisi jawatan menteri besar boleh menyebabkan rakyat Johor melabelkan PR sebagai parti yang gila kuasa dan mahu jawatan semata-mata,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...