Rabu, 15 Februari 2012

Peguam Anwar kes qazaf disaman RM10 juta



KUALA LUMPUR - Kamar Ainiah Kamaruzaman, peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes qazaf, dan firma guamanya,berdepan tuntutan saman fitnah berjumlah RM10 juta yang difailkan oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berhubung kenyataan peguam itu di portal Malaysiakini dan HarakahDaily.

Zainul Rijal yang diwakili Tetuan J.S Pillay & Mohd Haaziq memfailkan writ saman itu dua hari lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Kamar Ainiah sebagai defendan pertama dan firma guamannya, Tetuan Kamar Ainiah, Razif & Zashidi sebagai defendan kedua.
 
Pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Vazeer Alam ditetapkan pada 14 Mac ini, demikian menurut Zainul Rijal dalam satu kenyataan hari ini.
 
Zainul Rijal mendakwa Kamar Ainiah telah membuat kenyataan fitnah ketika ditemui wartawan di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Ogos tahun lepas untuk memburukkan imejnya sebagai peguam dan ahli perniagaan.

Antara yang dituntut oleh beliau ialah satu perintah supaya penyiaran kata-kata fitnah itu dihentikan serta merta dan penerbitan permohonan maaf di dalam portal Malaysiakini dan Harakahdaily secara berterusan selama seminggu.

 
Beliau juga menuntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...