Sabtu, 11 Ogos 2012

Biasiswa BNYES Realisasi Impian Belia Ke Menara Gading




BANTUAN demi bantuan dihulurkan pelbagai pihak bagi meningkatkan taraf pendidikan di negara ini khususnya dalam aspek pembiayaan pengajian di peringkat tinggi.

Selain daripada bantuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) yang disediakan kerajaan kepada rakyat, terdapat pihak lain yang berasa bertanggungjawab untuk membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan untuk menanggung kos pendidikan anak mereka.

Pinjaman Pendidikan Pemuda Barisan Nasional (BNYES) adalah antara satu skim bantuan yang mampu merealisasikan impian golongan belia khususnya untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia.

Dilancarkan pada Mac tahun lalu, BNYES yang diperkenalkan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) ini telah membuka ruang dan tempat untuk mereka yang layak dari segi akademik tetapi menghadapi masalah kewangan meneruskan impian untuk mendapatkan sijil, diploma atau ijazah dalam bidang-bidang tertentu.

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh banyak IPTS di negara ini melalui jalinan kerjasama dengan Pemuda BN menunjukkan betapa kedua-dua pihak serius dalam memberi akses pendidikan peringkat tinggi kepada golongan belia.

Salah seorang penerima biasiswa BNYES tahun ini, Abdul Rahman Abdul Aziz, 23, berkata dia tergamam seketika apabila mendapat tahu permohonan biasiswa untuk pengajiannya di Universiti Limkokwing berjaya.



Dia yang mendapat tahu tentang tawaran biasiswa ini di internet berkata, selepas mendapat biasiswa, dia tidak perlu lagi berfikir tentang sumber kewangan bagi membayar yuran pengajiannya.

"Saya tidak bergantung kepada ibu bapa untuk pengajian saya. Sebaliknya saya banyak melakukan kerja-kerja sampingan untuk membayar yuran.

"Saya amat berterima kasih dengan tawaran ini. Sekurang-kurangnya saya hanya perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membayar yuran untuk satu semester sahaja iaitu pada semester lepas" katanya yang akan meneruskan pengajian secara percuma pada semester kedua dan seterusnya dalam bidang penyiaran tidak lama lagi.

Seorang lagi penerima biasiswa, Chia Jing Hao, 22, menyatakan kegembiraannya sebaik mengetahui dia ditawarkan biasiswa.


Mengambil jurusan seni bina di Universiti Limkokwing, Jing Hao menyeru golongan belia supaya tidak melepaskan peluang ini.

"Siapa yang berminat, mereka boleh mencuba. Tidak susah untuk dapatkan bantuan kewangan asalkan kita layak dan berusaha mendapatkannya," katanya.

Faizal Izwan Mohamad Dan, 32, berasa bertuah ditawarkan biasiswa BNYES yang membolehkannya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang komunikasi.




Dia yang mempunyai pengalaman kerja dalam bidang kewartawanan sebelum ini berkata tawaran ini membolehkan individu yang sudah berkerja dengan kelulusan minimum merealisasikan impian untuk belajar di menara gading.

"Kalau tak ada tawaran seperti ini saya tak akan mampu sambung belajar secara sepenuh masa. Saya perlu lepaskan kerja jika mahu sambung pengajian.

"Sebab itulah saya memohon kepada jawatankuasa minta pertimbangkan permohonan saya kerana saya amat berminat untuk sambung belajar, syukur impian saya terlaksana," katanya yang akan mengikuti pengajian di Universiti SEGi.

Nurul Izzati, 23, yang sebelum ini bercadang untuk tidak melanjutkan pengajian dalam masa terdekat mengubah fikirannya sebaik sahaja permohonan biasiswanya berjaya.

"Saya tak perlu berfikir panjang lagi. Saya akan terus sambung belajar kerana tawaran biasiswa sudah ada," katanya yang akan belajar di Universiti Limkokwing dalam jurusan seni bina.


Pada tahun ini seramai 54 pelajar berjaya ditawarkan biasiswa BNYES yang mana 34 daripadanya akan mengikuti kursus jangka pangjang manakala 20 lagi akan mengikuti kursus jangka pendek.

Selain tidak perlu membayar yuran sepanjang pengajian mereka, mereka turut menerima wang sara diri sebanyak RM1,000 seorang.

Antara IPTS yang terlibat dalam program ini termasuklah, Universiti Limkokwing, Universiti SEGi, Universiti HELP, Universiti Sunway, Snips College of Creative Arts dan American Language Centre. Mstar
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...