Jumaat, 10 Ogos 2012

Jawatankuasa Khas Royalti Minyak… Berjaya Malapetaka Pembangkang




KUALA LUMPUR 10 Ogos – Penubuhan Jawatankuasa Khas berhubung isu royalti telah mencemaskan pembangkang kerana menyedari penyelesaian isu berkenaan akan menyebabkan mereka kehilangan modal untuk berhadapan dengan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Penganalisa dan pensyarah politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat menyifatkan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyebabkan pembangkang tidak senang duduk.

“Seperti diketahui umum, apa sahaja yang dilakukan kerajaan untuk rakyat tidak pernah diterima oleh pembangkang, pelbagai cara dilakukan oleh mereka untuk mempolitikkan perkara itu supaya menimbulkan suatu persepsi negatif rakyat kepada kerajaan.

“Isu royalti ini sudah lama dipolitikkan oleh pembangkang, mereka menjadikannya sebagai senjata untuk berhadapan dengan Barisan Nasional setiap kali pilihan raya, isu ini tidak pernah padam di kalangan pemimpin pembangkang di Kelantan.

“Tetapi apabila kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas itu, pembangkang sudah tidak senang duduk, modal politik mereka semakin putus kerana isu royalti adalah antara modal politik paling ampuh untuk mempertahankan Kelantan serta menawan semula Terengganu pada pilihan raya umum nanti,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Menurutnya, walau apa pun pembangkang akan mencari jalan supaya apa yang dilakukan oleh jawatankuasa khas itu tidak menjadi kenyataan, kerana jika perkara itu berlaku ia adalah satu kejayaan kepada mereka.

“Kepimpinan Datuk Seri Najib telah banyak membawa perubahan kepada rakyat yang selama ini tidak pernah terfikir oleh pembangkang, pelbagai program bantuan kepada rakyat telah melemaskan pembangkang, `Janji Ditepati’ menyebabkan pembangkang panas punggong.

`Janji Ditepati memberi tamparan berikutan kegagalan pakatan pembangkang menunaikan janji-janji yang dibuat ketika pilihan raya lalu, sehingga sekarang apa yang dijanjikan itu hanya tinggal janji sahaja walaupun mereka berkuasa,

“Di samping itu, penubuhan jawatankuasa itu satu lagi kejayaan Barisan Nasional dalam menunaikan janji-janji kepada rakyat,” katanya.

Dr Samsul berkata, bukan sesuatu yang mengejutkan jika penubuhan jawatankuasa itu ditentang oleh pembangkang, bagi mereka kejayaan jawatankuasa itu adalah mala petaka, tetapi jika sebaliknya ia adalah modal terbaik pembangkang untuk menumpaskan Barisan Nasional. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...