Jumaat, 10 Ogos 2012

Protes gesa Duta Myanmar diusir ....!!




JAKARTA 9 Ogos - Kira-kira 100 orang mengadakan bantahan di pekarangan pejabat Kedutaan Myanmar di sini hari ini bagi menggesa supaya duta negara itu diusir berikutan layanan buruk negara itu terhadap etnik Rohingya Islam.

Kumpulan lelaki itu memakai pengikat kepala dengan tertera perkataan 'Selamatkan Rohingya' dan membawa sepanduk yang tertulis perkataan 'Hentikan Keganasan'.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh kumpulan yang dikenali sebagai 'Masyarakat Perpaduan Rohingya' yang turut mengeluarkan kenyataan media menuntut kerajaan Myanmar secara rasmi mengakui etnik Rohingya adalah rakyat negara itu.

"Kami gesa negara yang dihuni majoriti umat Islam, terutamanya Indonesia mengambil langkah tegas dan proaktif bagi menamatkan penderitaan etnik Rohingya," laung seorang penunjuk perasaan menggunakan pembesar suara.

Penunjuk perasaan yang sesetengahnya membaling telur ke arah pejabat kedutaan itu turut menggesa Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menarik balik sokongan terhadap Myanmar untuk menjadi pengerusi ASEAN pada 2014 dan mengusir duta negara itu ke Indonesia.

Sementara itu, Speaker Dewan Perwakilan Indonesia, Marzuki Alie berkata, Indonesia berkemungkinan menghantar delegasi ke Myanmar bagi menyiasat tuduhan berlaku pelanggaran hak asasi terhadap komuniti Islam Rohingya di negeri Rakhine, barat negara itu.

"Kami sedang mempertimbangkan untuk menghantar delegasi ke Myanmar dan saya akan berbincang dengan Suruhanjaya Dewan I yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal luar Indonesia bagi membincangkan isu tersebut.

"Sebagai sebuah negara yang memiliki penganut Islam teramai di dunia, Indonesia mempunyai kewajipan mempertahankan etnik Rohingya dan menggalakkan institusi global campur tangan," katanya dalam satu artikel yang disiarkan oleh Tribunnews.com, kelmarin.

Marzuki pada Isnin lalu berkata, rakan sejawatnya dari Myanmar telah menyuarakan bantahan kepadanya kerana menggunakan istilah 'penghapusan kaum' bagi menggambarkan keganasan etnik yang menyasarkan kumpulan minoriti Rohingya di Myanmar, sebelum ini.

"Saya baru sahaja menerima satu surat bantahan daripada Speaker Dewan Myanmar, Khim Aung Myint atas penggunaan istilah itu dalam kenyataan saya kepada media Indonesia.

"Isi surat itu sangat panjang, tetapi isu utamanya ialah mereka tidak bersetuju dengan penggunaan istilah tersebut," ujar Marzuki. - Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...