Sabtu, 26 Januari 2013

BN mampu menang dua pertiga pada PRU-13


JOHOR BAHARU 26 Jan. - Barisan Nasional (BN) berkeupayaan memperoleh kemenangan dua pertiga di dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang bakal diadakan pada bila-bila masa, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Fuad Hassan.

Beliau berkata untuk kemenangan dua pertiga, BN perlu menarik sekurang-kurangnya 30 peratus undi daripada pengundi Cina dan masing-masing 65 peratus undi daripada pengundi Melayu dan India di seluruh negara.

"Insya-Allah, BN berkemampuan mencapai kemenangan dua pertiga pada pilihan raya umum ini jika kita terus bekerja kuat dan berusaha mencapai apa yang disasarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peserta yang menghadiri majlis Perjumpaan Rakan Media Sosial Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa Johor, di sini hari ini.

Fuad melahirkan keyakinannya bahawa sokongan pengundi Melayu di Johor terhadap BN akan melebihi tahap 65 peratus dan mencecah sehingga 80 peratus dan lebih.

Katanya, sokongan pengundi masyarakat India terhadap BN juga telah pulih daripada kejatuhan pada pilihan raya umum 2008, selain berkeyakinan terhadap peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap BN kali ini.

Menurut Fuad, banyak daripada isu yang dimainkan pembangkang seperti pembelian kapal selam Scorpene, loji nadir bumi Lynas dan lain-lain telah
“diselesaikan", menyebabkan pembangkang kini tercari-cari isu baharu. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...