Isnin, 7 Januari 2013

Himpunan Shamsidar: Anwar dan Azmin terdesak....




Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali kini dalam keadaan terdesak apabila Senator Datuk S. Nallakaruppan berjaya mendapatkan Shamsidar Taharin sebagai saksi utama dalam kes saman fitnah Anwar.

Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, kedua-kedua individu berkenaan kini terdesak hingga ingin mengheret rakyat menyertai Himpunan Shamsidar pada 12 Januari ini.

"Tidak wajar bagi Anwar dan Azmin mengheret rakyat ke perhimpunan tersebut dan jangan gunakan rakyat untuk lindungi masalah dan isu moral peribadi. Shamsidar perlu beri keterangan di mahkamah dan bukan di atas pentas perhimpunan bersama Ng Phaik Kheng," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Nallakaruppan mendakwa pembangkang merancang mengadakan Himpunan Shamsidar beberapa hari sebelum perbicaraan kes saman fitnah melibatkan Anwar.

Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Nallakaruppan serta Utusan Melayu (M) Berhad pada 26 Mac tahun lalu ekoran petikan ringkas yang disiarkan Utusan Malaysia pada 20 Mac tahun lalu di muka hadapan bertajuk 'Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang - Nalla' dan berita penuh di muka surat enam bertajuk 'Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual'.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan sebahagian besar pembelaan Nallakaruppan serta Utusan Melayu dalam kes saman tersebut dikekalkan.
Nallakaruppan dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 23 Mei tahun lalu menyenaraikan kira-kira 10 orang termasuk Shamsidar bagi membuktikan dakwaannya berhubung seksualiti bekas rakan karibnya itu.

Sementara itu, menurut Khairul Anuar, difahamkan bahawa Shamsidar dan Phaik Kheng (pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan Lim Guan Eng) akan menjadi 'tarikan' pada perhimpunan itu nanti.

"Ketika ini, kedua-dua wanita ini boleh dianggap sebagai selebriti yang sama popular seperti Datuk Lee Chong Wei dan ratu terjun, Pandelela Rinong," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...