Sabtu, 26 Januari 2013

Warga Kastam dapat insentif setengah bulan gaji


PUTRAJAYA 26 Jan. - Seramai 12,500 warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara bakal menerima elaun khas berupa setengah bulan gaji pada tahun ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang mengumumkan perkara itu berkata, pemberian insentif khas itu adalah berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan pasukan tersebut selepas berjaya mengutip hasil sebanyak RM32.318 bilion pada tahun lepas.

Katanya, pungutan hasil tersebut meningkat sebanyak RM1.93 bilion atau 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Insentif setengah bulan gaji ini kerajaan berikan bagi menghargai kerja-kerja yang dilakukan Kastam yang berjaya mencapai prestasi tertinggi dalam sejarah mereka.

"Kita akan umumkan tarikh pemberian itu nanti di mana keputusan itu diputuskan selepas perbincangan dibuat bersama pihak Kastam pada minggu ini," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. - UTUSAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...