Rabu, 13 Mac 2013

Sultan Ahmad Shah Sebak Pergolakan Yang Berlaku di Lahad Datu..


KUANTAN: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah semalam sebak dengan pergolakan yang berlaku di Lahad datu sehingga mengorbankan sembilan nyawa anggota keselamatan.

Baginda turut berkongsi duka dengan keluarga perwira negara itu termasuk anak-anak mereka yang masih kecil dan isteri yang sedang hamil.

“Saya dukacita dengan nasib yang menimpa keluarga perwira yang telah terkorban itu lebih-lebih lagi dengan anak-anak yang masih kecil dan isteri sedang mengandung,” titah baginda.

Sultan Ahmad Shah juga mahu rakyat terus menyokong kerajaan yang memerintah hari ini kerana sejak dahulu apa sahaja yang dilaksanakan kerajaan terutamanya Perdana Menteri adalah menjurus ke arah perpaduan dan kedamaian negara.

“Selain itu, jangan berharap kepada kerajaan semata-mata kerana sebagai rakyat di negara ini apa yang paling penting adalah perpaduan antara satu sama lain. Jika kita tidak bersatu, negara mudah goyah dan boleh di ceroboh bila- bila masa sahaja,” titah baginda.

Baginda bertitah agar rakyat di negara ini terus bersatu untuk mengekalkan kedamaian bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti yang terjadi di Lahad Datu dan Semporna,Sabah.
“Bumi Malaysia adalah hak kita semua dan tiada mana-mana kuasa lain yang boleh menakluki negara ini setelah kemerdekaan dicapai.

Selain itu, baginda menyeru rakyat di negara ini agar sentiasa mendoakan kesejahteraan pejuang yang mempertaruhkan nyawa mereka demi kedaulatan negara tercinta.

Sultan Ahmad Shah bertitah demikian ketika Majlis Perasmian Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah di Indera Mahkota Lapan di sini.

Turut mengiringi baginda, Sultanah Pahang Sultanah Kalsom. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob. Taman Pengasih dibina dengan kos RM7.78 juta ini mampu memuatkan 120 penghuni.

Institusi itu dibina atas keprihatinan Sultan Ahmad Shah yang turut mengilhamkannya bagi membela nasib anak-anak yatim sekitar negeri ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...