Setelah berminggu-minggu PRU-13 berlalu dan beberapa
Himpunan haram diadakan untuk membantah keputusannya, kononnya kerana berlaku
begitu banyak penipuan, akhirnya kita dihidangkan dengan satu laporan polis
bagi menjustifikasikan bantahan itu, iaitu berkenaan dakwat tidak kekal. Di ulang, ‘SATU’ laporan polis sahaja bagi
kesemua ‘penipuan’.
Yang dilaporkan adalah kelemahan dakwat kerana “hilang bila dibasuh” dan BUKANNYA penipuan
kerana “mengundi dua kali”.
Atas alasan ini, maka PR mendesak agar keputusan PRU di 30
kerusi yang dimenangi BN diadakan semula.
Persoalannya, kenapa hanya 30?
Bukankah antara yang dijaja di internet oleh PR berkenaan seorang yang
kononnya telah mengundi dua kali terjadi di kawasan yang dimenangi Fuziah
Salleh dari PKR? Kenapa kerusi yang
dimenangi PKR tidak perlu diragui?
BN telah memenangi 133 kerusi dan PR 89. Ini bermakna PR menjangka yang mereka boleh
memenangi lagi 30 kerusi menjadikan jumlah kerusi mereka 119 dan BN tinggal
hanya 103 kerusi.
Pelik sekali kerana PR hanya ingin membantah kerusi yang
dimenangi oleh BN, tetapi menerima kemenangan partinya di semua 89 kerusi. Sedangkan jika benar SPR adalah talibarut BN,
kenapakah PR boleh memenangi sehingga 89 kerusi?
Bukankah lebih baik SPR memberi kemenangan besar kepada BN
sehingga sukar untuk dipertikai? Kenapa
mesti membiarkan Dato’ Seri Najib tersentap dengan tsunami Cina?
Jika Anwar serius ingin mengadakan semula PRU di 30 kerusi
tersebut, Anwar wajib terlebih dahulu membuktikan adanya kes penipuan dan bukan
sekadar kelemahan. Jika dakwat tidak
kekal yang menjadi punca, maka Anwar wajib membawa bukti dan saksi bahawa ada
yang telah mengundi dua kali. Jika
setakat dakwat hilang tetapi tiada kes pengundian dua kali maka itu bukan satu
penipuan dan tidak perlu diadakan pengudian semula.
Malang bagi Anwar kerana beliau tidak mampu menampilkan
apa-apa bukti atau saksi walaupun telah bersedia untuk membuat kecoh berkenaan
kelemahan dakwat sepertimana rancangan awalnya dengan Ambiga.
Perlu diingatkan bahawa ‘tema’ himpunan bantahan Anwar ialah
‘blackout’ iaitu kononnya strategi utama penipuan SPR.
Tetapi, Anwar tidak pula membuat laporan berkenaan
‘blackout’, malah Anwar langsung tidak menyentuh secara terperinci mengenai
kejadian blackout dalam ucapan-ucapan himpunan bantahannya. Apa yang Anwar tumpukan hanyalah soal dakwat
di jarinya yang senang dibasuh, itu saja.
Oleh itu, sepatutnya, Himpunan Bantahan 505 membawa tema
‘ink-out’ bukan ‘blackout’. Tidak
semena-mena penyokong buta tulinya menggelapkan gambar profile di laman sosial
dan memakai baju hitam bagi menggambarkan ‘blackout’ sedangkan yang
diperjuangkan ialah ‘ink-out’.
Mungkin penyokong PR tidak harus menggunakan ‘kegelapan’
bagi menunjukkan protes tetapi menggunakan gambar profile jari di laman sosial
serta berjalan sambil menunjuk jari yang telah bersih dari dakwat kekal. Cara ini adalah lebih sesuai dengan bantahan
yang dibuat oleh Anwar yang mana langsung tidak ada kena mengena dengan ‘blackout’.
Nampaknya Anwar telah tersalah tema dan penyokongnya pula
hanya mengikut membuta tuli.
Apapun, kita harap agar adalah di antara beberapa
penyokongnya yang cerdik sedikit dan mula bertanya kenapa tidak didesak PRU
semula bagi semua kerusi? Atau di
manakah kejadian ‘blackout’ ketika proses pengiraan undi berlaku? Atau di manakah semua pengundi hantu hilang
selepas PRU? Atau siapakah yang telah
mengundi dua kali selepas dakwat di jarinya hilang?
Empat soalan ini sahaja yang kita minta dari penyokong Anwar
untuk bertanya kepadanya dengan harapan Anwar tidak akan menjawab dengan ugutan
“you ulang, I saman.”