Rabu, 3 Julai 2013

Dibelasah samseng sekolah..





SENAWANG – Hanya kerana menegur rakan sebaya yang sengaja melanggar bahunya, seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditumbuk di pipi kiri dan ditendang di bahagian belakang badan di luar pekarangan sebuah sekolah menengah, di sini, kelmarin.

Akibat tumbukan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian rahang pipi selain lebam di mata kiri sehingga terpaksa dibawa ke hospital.

Menurut mangsa, Mohd Zulhelmeze Karim, 16, dalam kejadian jam 2 petang itu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bersepadu Taman Jasmin secara bersendirian apabila tiba-tiba ditarik
suspek yang sedia menunggu di luar perkarangan sekolah.

“Dia bawa saya ke perhentian bas berhampiran. Tanpa bercakap apa-apa dia terus tumbuk dan tendang saya berulang kali. Saya juga dikepung hampir 20 pelajar lelaki lain di tempat kejadian yang kesemuanya memakai uniform sekolah.

“Saya ingatkan insiden awal yang saya tegur dirinya (suspek) selepas dia sengaja langgar bahu saya habis setakat itu saja, rupanya dia masih tak puas hati,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Mohd Zulhelmeze, dia cuba melawan bagi mempertahankan diri, tetapi tidak mampu kerana suspek dibantu oleh seorang lagi rakan untuk menumbuk dan menendangnya.

Menceritakan punca kejadian, mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu berkata, suspek dengan sengaja melanggar bahunya ketika dia mahu berjumpa seorang guru di salah sebuah kelas di situ.

“Selepas dia langgar bahu saya, saya cuma tegur dengan baik agar dia jalan dengan betul. Saya memang tak sangka teguran itu menyebabkan dia tak puas hati dan menyimpan dendam,” katanya.

Badan menggigil selepas dibelasah

Sementara itu, bapa mangsa, Karim Abu Hassan, 39, berkata, dia terkejut melihat keadaan mata kiri anaknya lebam ketika Mohd Zulhelmeze sampai ke rumah pada jam 4 petang.

“Pada mulanya anak saya tak mahu beritahu perkara sebenar, dia kata terlanggar bucu meja di sekolah.


“Tapi saya tak percaya dan menggesa dia ceritakan perkara sebenar. Kemudian barulah dia beritahu dibelasah seorang pelajar lelaki yang memang dikenali dengan lagak samsengnya ketika di luar sekolah.
“Saya terus bawa anak saya ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas melihat bahagian matanya lebam teruk selain badannya turut mula menggigil,” katanya.

Karim berkata, kejadian yang menimpa anaknya serius kerana melibatkan pelajar di bangku sekolah.

“Ini kejadian pertama berlaku pada diri anak saya, dan kami sangat sedih dengan kelakuan suspek.

“Jika tiada sebarang tindakan susulan dilakukan pihak berkaitan, tidak mustahil perkara yang sama akan berlaku pada pelajar lain,” katanya yang telah pun membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi Sinar Harian turut mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Sekolah boleh ambil tindakan
Dalam pada itu, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) menyerahkan kepada pihak sekolah berkenaan untuk mengambil tindakan berhubung kes yang membabitkan pergaduhan pelajar mereka.

Pengarahnya, Kalsom Khalid berkata, bagaimanapun sebelum tindakan diambil, siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kes.
“Itu (siasatan) merupakan prosedur yang lazimnya akan dibuat dan pihak jabatan hanya dapat mengarahkan pihak sekolah, tetapi kita tidak akan menentukan tindakan yang bakal diambil.
“Pihak sekolah juga perlu mendapat laporan terperinci daripada pelajar-pelajar yang terlibat sebelum tindakan diambil,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bagaimanapun, dalam kes pergaduhan yang membabitkan pelajar di sebuah sekolah menengah di bandar ini, kelmarin, pihaknya belum menerima sebarang makluman dan laporan berhubung kes itu.

“Sungguhpun begitu, jika ada kes yang membabitkan pelajar sekolah, pihak sekolah sedia maklum dengan prosedur 1,3,7 yang ditetapkan.

“Prosedur berkenaan iaitu dilaporkan pada hari kejadian pertama melalui SMS atau menerusi telefon kepada jabatan, kemudian pada hari ketiga dan ketujuh, laporan lengkap berserta siasatan terperinci perlu disampaikan,” katanya.


Kalsom turut menafikan dakwaan mengatakan terdapat sesetengah sekolah cuba menyembunyikan kes yang berlaku membabitkan pelajar mereka bagi mengelakkan daripada dihidu pihak jabatan.  
“Setakat ini, tiada sekolah berbuat begitu (sembunyi kes) dan jabatan menerima kerjasama yang baik daripada pihak sekolah,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...