Selasa, 10 Disember 2013

Langit Malaysia Diterangi Juraian Hujan Meteor Mulai 3 Hingga 17 Dis


KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) — Langit Malaysia akan diterangi juraian hujan meteor Geminids mulai 3 hingga 17 Dis ini, menurut Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) hari ini.
 
Dianggarkan, kira-kira 120 juraian meteor sejam dapat dilihat pada masa kemuncaknya yang bermula dari awal pagi 13 Dis hingga 14 Dis ini.

“Titik meteor Geminids adalah daripada buruj Gemini yang berada di langit Malaysia sejak September lepas hingga April tahun depan.

“Pada tahun ini, kenampakannya tidak begitu baik kerana waktu kemunculannya sama dengan fasa Bulan hampir purnama (91 peratus penuh),” demikian menurut kenyataan itu.

Mereka yang berminat menyaksikan hujan meteor boleh berbuat demikian dengan memandang ke arah timur laut selepas waktu tengah malam hingga subuh di kawasan lapang dan gelap.
Bagaimanapun, keadaan cerah langit oleh cahaya bulan akan mengehadkan kenampakan meteor kepada 50 hingga 80 meteor sejam.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang menyaksikan planet Musytari, Marikh, Buruj Belatik, Taurus, Gemini, Cassiopeia, Pegasus, Canis, Major, Leo, Virgo dan Gugusan Bintang Tujuh (Pleiades) dengan mata kasar.

Mereka yang mempunyai teleskop juga boleh menyaksikan ‘Great Orion Nebula’.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22734303 atau 03-22734301.
– BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...