Ahad, 16 Februari 2014

BR1M 3.0 diagih dalam tempoh 20 hari


Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 3.0) yang bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Februari depan akan diagihkan dalam tempoh 20 hari.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata bayaran akan terus dimasukkan ke dalam akaun bank penerima secara serentak di seluruh negara selepas pelancaran itu.

Langkah itu bagi memastikan penerima BR1M tidak perlu menunggu lama untuk menikmati bantuan tersebut seperti sebelum ini.

Bagi yang tidak mempunyai akaun bank pula, mereka akan menerima baucer secara berperingkat bermula 23 Februari.

"Kami mahu ia diagihkan dalam tempoh tidak lebih daripada 20 hari. Ada juga orang yang kata bahawa kita mesti melaksanakan seperti dulu melalui majlis penyampaian tetapi kami mengatakan tidak kerana rakyat memerlukan bantuan wang sekarang. Oleh itu, kita nak buat sekali masuk bank habis satu hari itu. Maknanya dapat untuk mereka yang ada akaun bank. Yang tidak mempunyai akaun bank pula akan kami umumkan kelak lokasi pengagihan baucer kelak." kata Ahmad Husni.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar khas mengenai program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di ibu negara hari ini.

Najib dijangka melancarkan BR1M di Sekolah Menengah Aminuddin Baki Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Tambah beliau daripada lebih 7 juta penerima BR1M 3.0, 4 juta daripadanya mempunyai akaun bank manakala lebih 2 juta lagi tidak mempunyai akaun bank.

Sejumlah RM4.2 bilion diperuntukkan bagi BR1M yang bakal memanfaatkan 4.62 juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang.

Kriteria pemberian BR1M 3.0 juga menyaksikan penambahbaikan berbanding BR1M sebelum ini termasuk penambahan nilai bantuan sekitar RM50 hingga RM150.

Bagi kategori isi rumah berpendapatan bulanan RM3000 dan ke bawah, nilai bantuan ditingkatkan daripada RM500 kepada RM650.

Kategori bantuan juga diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.

Warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tinggal sebatang kara pula menerima kenaikan jumlah BR1M iaitu daripada RM500 dan RM650.

Sementara itu, bagi kategori bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan RM2,000 dan ke bawah, bantuan akan ditingkatkan daripada RM250 kepada RM300.

Di bawah BR1M 3.0, kerajaan turut memperkenalkan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) dengan nilai perlindungan maksimum sehingga RM30,000, sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal akibat kemalangan.

Tempoh perlindungan adalah bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2014.

Inisiatif itu tambah Ahmad Husni diambil sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat selaras dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah. SUMBER
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...