Khamis, 20 Februari 2014

Comango dakwa tuntutan hak LGBTIQ bukan isu agama



Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) berpandangan, isu berkaitan hak golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan interseks serta bukan heteroseksual (LGBTIQ) tidak sepatutnya dibincangkan dari sudut keagamaan.
 
Sebaliknya, Comango meminta sebarang perbincangan berkaitan tuntutannya agar Malaysia mengiktiraf identifikasi orientasi seks dan gender (SOGI) yang merangkumi hak LGBTIQ, dihadkan dari segi hak asasi manusia sahaja.

Pandangan itu disuarakan jurucakap Comango, Honey Tan Lay Ean apabila diminta mengulas tentang pengharaman amalan LGBTIQ di dalam Islam dengan berlandaskan hukum-hukum yang terkandung di dalam al-Quran pada sidang akhbar di pejabat Dignity International, Petaling Jaya dekat sini hari ini.

"Kita tidak terlibat dalam perbincangan keagamaan, kita berbincang dari segi hak asasi manusia," katanya.
Sidang akhbar itu turut dihadiri Pengasas Knowledge and Rights with Young People through Safer Spaces (KRYSS), Angela M. Kuga Thas; Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Yap Swee Seng; Ahli Lembaga Pengarah Pusat Komunikasi Hak Asasi Manusia (Komas), Jerald Joseph dan Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez.

Honey turut mendakwa kenyataan berkaitan tuntutan-tuntutan Comango terutama berhubung hak LGBTIQ dalam proses semakan berkala sejagat (UPR) ke atas Malaysia yang memasuki pusingan kedua melalui Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober lalu telah diputarbelitkan media.

Menurut beliau, dalam laporan tersebut, Comango menolak keganasan terhadap sesiapa sahaja termasuk golongan LGBTIQ dan meminta seksualiti serta identiti gender seseorang tidak dipolitikkan.

"Jadi, itu yang kami katakan tentang hak SOGI. Anda akan mendapati kami tidak berkata apa-apa pun tentang perkahwinan pasangan sejenis, seks songsang.

"Perkara-perkara tersebut tidak dinyatakan dalam laporan kami. Saya berharap penjelasan ini akan menghentikan segala spekulasi tentang laporan Comango," ujarnya.

Penjelasan Honey itu agak mengelirukan kerana pada Perkara 6 laporan berkenaan, Comango mengesyorkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang mentakrifkan liwat dan seks oral sebagai kesalahan jenayah dimansuhkan.

Comango juga menuntut kerajaan mengkaji semula, meminda dan memansuhkan undang-undang agar selaras dengan Prinsip-prinsip Yogyakarta yang mengiktiraf hak LGBTIQ serta konvensyen-konvensyen PBB yang lain.
 
Dalam laporan sama, Comango mendakwa situasi di Malaysia menjadi bertambah kompleks apabila isu SOGI dikaitkan dengan agama khususnya Islam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...