Isnin, 30 Januari 2017

ROS Boleh Batalkan Pendaftaran Pertubuhan-Pertubuhan Yang Menentang Agenda Islam Negara..!!



Parti-Parti politik atau pertubuhan yang menentang pemerkasaan Akta 355 boleh dibatalkan pendaftaran mereka. Ini kerana perbuatan mereka yang jelas berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan telah melanggar Seksyen 2A Akta Pertubuhan yang dengan jelas menyatakan bahawa sebarang aktiviti yang dijalankan hendaklah selari dan kondusif dalam memenuhi atau mematuhi peruntukkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.

Hal ini diperjelaskan oleh Ketua Pegawai Esekutif, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Dato’ Prof. Hj Mahamad Naser Disa. Tegasnya lagi “Hal ini adalah selari dengan kedudukan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan dan semua pertubuhan atau persatuan yang berdaftar perlu menghormati dan mematuhi peruntukkan undang-undang tertinggi negara itu.

” Pengamal Undang-Undang itu juga menegaskan bahawa perundangan Syariah sebenarnya tidak pernah bercanggah dengan perundangan Sivil seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak. Malah perundangan Syariah telah diamalkan sekian lama dan telah kita warisi daripada perundangan negeri-negeri. Islam sendiri telah bertapak seawal tahun 1303, seperti yang tertulis pada Batu Bersurat Terengganu.

Malah perundangan Syariah juga saling melengkapi perundangan Sivil dan adalah menjadi hak asasi setiap warga Muslim di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalani kehidupan mereka sebagai seorang Muslim seperti yang termaktub dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan.

Namun beliau tidak menafikan masih terdapat segelintir golongan yang seperti mahu menidakkan hak itu dan masih mendakwa bahawa Malaysia sebagai sebuah negara sekular, sekalipun dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri perkataan ‘sekular’ itu tidak pernah wujud. Katanya lagi pemerkasaan Akta 355 adalah penting untuk memelihara akhlak dan akidah umat Islam yang merupakan penduduk majoriti negara.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...