Sabtu, 15 April 2017

JDT lancar telefon pintar



Johor Darul Ta'zim (JDT) mengorak langkah dalam bidang elektronik apabila menjadi skuad bola sepak pertama di negara ini yang melancarkan telefon pintar rasmi khusus buat penyokongnya.

Menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers, telefon pintar rasmi berjenama OLA itu dilancarkan sebagai pengiktirafan kepada lebih 1.5 juta penyokong skuad Harimau Selatan yang melayari platform media sosial dan digital kelab menggunakan peranti mudah alih. "Pelancaran kedua-dua peranti dengan tanda dagangan JDT ini selaras pendekatan pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap pembangunan gaya hidup produk dan perkhidmatan kelab.

"Keluaran baharu ini menandakan pembabitan pertama JDT dalam kategori telefon pintar dan ini adalah bukti fokus serta pelaburan kelab adalah ke arah pembangunan dalaman reka bentuk, kualiti, pembuatan dan rantaian bekalan dengan rakan kongsi eksklusif," katanya kenyataan itu.

Pelancaran telefon pintar itu disempurnakan oleh Pengarah Pemasaran JDT, Romain Biesse, dan wakil EXMobile, Leng Yap. Telefon pintar terbabit dikeluarkan dalam dua pilihan bergaya mewah namun pada harga mampu milik iaitu OLA JDT FC Black Matte Edisi Khas serta OLA JDT FC White Rose Gold Edisi Khas.


Pada harga serendah RM599, telefon pintar itu dilengkapi IPS 12 sentimeter dengan paparan definisi tinggi (HD), kapasiti rom 16 gigabait (GB) yang boleh dipertingkatkan berserta kad memori mini SD 32GB, kamera belakang lapan megapiksel (MP) dan kamera depan 5 MP, RAM berkuasa 2GB serta menggunakan kemas kini Android 6.0 Marshmallow. 

Selain itu, OLA turut mempunyai integrasi sepenuhnya dan akses terus ke platform digital rasmi Johor Southern Tigers dan membenarkan penyokong untuk memilih latar belakang telefon pintar bertemakan pasukan JDT yang direka khas dan akan dimuat naik dari semasa ke semasa.

OLA turut menampilkan maklumat perisian 'over-the-air' yang akan digunakan untuk mengemas kini atau memberi input berhubung Aplikasi Rasmi Kelab Bola Sepak JDT pada masa akan datang serta cara berfungsi tanpa wayar dan automatik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...