Sabtu, 1 April 2017

Realiti Seorang Pembangkang



KATAKANLAH anda membenci kerajaan dan mahu menjatuhkan kerajaan kerana anda percaya kerajaan menzalimi anda sebagai rakyat. Anda mempercayai kerajaan menyalahgunakan kuasa, mencuri wang rakyat dan mengenakan cukai yang tidak sepatutnya.
Di satu pihak, wujud parti-parti pembangkang yang mahu menjatuhkan kerajaan, dan anda pun terus menyokong parti tersebut. Katakanlah parti pilihan anda itu adalah PKR kerana anda menyedari parti pilihan lainnya, iaitu PAS, kelihatan sudah berbaik dengan UMNO, parti yang menerajui kerajaan hari ini.
Anda seorang Melayu-Islam. Bagi anda kezaliman dan penindasan kerajaan perlu dihentikan. Anda menyenaraikan segala imej buruk berkenaan kerajaan, Isu 1MDB, kenaikan harga barangan keperluan, dan pelbagai lagi (anda senaraikan sendiri).
Anda sedar PKR tidak dapat memerintah sendiri sebagaimana parti UMNO juga perlukan MCA dan MIC sebagai Barisan Nasional untuk memerintah kerana negara ini rakyatnya berbilang kaum. Maka anda yang berbangsa Melayu-Islam ini cuba bertolak-ansur menerima DAP untuk menjatuhkan UMNO, walaupun naluri anda mengetahui DAP bersifat  menentang Islam dan Melayu. Apa yang penting bagi anda adalah menumbangkan kerajaan. Yang lain adalah persoalan selepas itu. Sesingkat itu anda berfikir.
Dalam imaginasi anda pula, anda membayangkan PKR sekadar mempergunakan DAP untuk menjatuhkan kerajaan. Apabila kerajaan sedia ada tumbang, anda fikir parti anda dapat mengawal DAP.  Yang penting bagi fikiran anda, kerajaan perlu ditukar dahulu.
Kemudian apa yang sebenarnya berlaku seterusnya?
Mari saya tunjukkan kepada anda kemungkinan-kemungkinan itu.
Katakanlah DAP benar-benar menentang Islam dan mahu menghapuskan hak-hak orang Melayu. Anda sebenarnya tidak percaya DAP boleh menghapuskan hak-hak orang Melayu. Anda lupa, dengan menyamaratakan hak orang-orang Melayu dengan hak orang bukan bumiputera lain di negara ini, itu sebenarnya adalah menghapuskan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu. Hak sama rata ini sebenarnya wujud dalam dasar-dasar parti DAP, Malaysian Malaysia.
Adakah parti yang anda sokong akan menentang hasrat DAP itu? Melawan DAP akan menyebabkan orang-orang Cina dan bukan Islam tidak akan menyokong parti anda, dan ini bermakna kerajaan  yang anda benci itu akan kekal angkuh memerintah. Malah, parti anda tidak boleh memerintah sendirian. Anda buntu. Anda tidak dapat mencari hujah untuk mewajarkan tindakan anda itu.
Seperti yang berlaku hari ini, anda melihat parti yang anda sokong telah menyebelahi DAP dalam banyak isu yang mengancam masa depan orang-orang Melayu. Anda pun turut berdiam diri dan tidak mengkritik tindakan parti yang anda sokong kerana tidak mahu parti tersebut kalah dalam PRU. Anda terpaksa menyokong parti yang menggadaikan agama,bangsa dan tanahair anda.
Pelik, bukan? Anda yang Melayu dan Islam boleh meredhai agenda halus DAP ini mahu menguasai dan mengubah negara ini. Hukum hudud pun anda tidak setuju kerana mahu mengambil hati DAP, sedangkan dahulu anda menentang UMNO kerana tidak melaksanakan hukum hudud.
Anda masih tidak perasan keadaan ini kerana kebencian anda kepada kerajaan telah membutakan akal anda.
Sebenarnya ia adalah normal dalam politik. Untuk mendapatkan sokongan, kita perlu mengalah kepada kehendak orang ramai (dalam hal ini mengalah kepada orang-orang bukan Islam yang mendominasi parti-parti pembangkang).
Kemudian anda menyertai perhimpunan-perhimpunan anjuran pembangkang. Anda melihat pelbagai kumpulan turut menyelusup masuk dalam protes antikerajaan itu. Tokoh-tokoh Pluralisme, Sekularisme, atau gerakan songsang LGBT yang hadir secara terang-terangan dengan membawa sepanduk mereka. Anda berasa pelik. Apapun anda turut bergambar dengan mereka, gadis-gadis seksi dan tidak senonoh di antaranya.
Sebagai manusia waras, anda tentu sedar ini bukanlah bermoral. Tetapi, anda melihat politikus-politikus Melayu-Islam pembangkang lain tidak mengambil peduli pun perkara ini. Anda cuba bersangka baik. Anda fikir parti anda sedang memanipulasi kumpulan asing itu, dan langsung tidak terlintas yang anda dan parti anda yang sebenarnya diperkudakan oleh agenda asing.
Anda lupa di tengah-tengah kegawatan politik, kumpulan-kumpulan subversif ini akan mengambil peluang. Mereka tidak dapat menyebarkan pengaruh secara bebas jika politik negara dalam keadaan aman. Apabila politik tidak stabil, semua parti terpaksa mencari sokongan, termasuk daripada kumpulan-kumpulan yang membawa agenda jahat.
Saya boleh katakan parti yang anda sokong tidak kuat kerana ia memerlukan sokongan orang-orang bukan Islam. Kelihatan ia memimpin parti-parti yang lain, tetapi jika benar begitu, kenapa ia tunduk kepada DAP?
Anda sebutkan MCA yang juga bersuara negatif dalam bab-bab melibatkan Melayu dan Islam, jadi apa salahnya dengan DAP, fikir anda.
Ia benar, tetapi anda lupa bahawa yang mengawal MCA adalah UMNO. Tindak-tanduk MCA itu hanyalah “lakonan” untuk meraih sokongan orang-orang bukan Islam, terutamanya bangsa Cina, kerana mereka mewakili bangsa Cina. Jika mereka tidak bersuara, mereka pasti akan hilang sokongan bangsa mereka.
Berbeza dengan pakatan pembangkang, mereka saling mahu menguasai sesama sendiri, malah DAP sebenarnya adalah lebih dominan. Perkara ini anda tidak mahu sedarinya.
Perkara ini akan berterusan episodnya. Sebaliknya DAP akan lebih tegas dengan prinsip mereka. Semakin mereka tegas dan kuat memperjuangkan hak sama rata, semakin mereka mendapat sokongan orang-orang Cina dan bukan Islam yang lain.
Anda boleh menutup mata dalam perkara ini dengan membangkitkan tuduhan-tuduhan salahlaku kerajaan yang lain.
Katakanlah kerajaan yang anda benci itu tumbang dalam PRU, adakah anda fikir keadaan akan menjadi lebih baik kepada negara ini?
Anda fikir harga petrol akan diturunkan? Anda sendiri dapat menjawabnya jika anda masih berfikiran waras dan  rasional.
Anda fikir harga barangan keperluan akan turun?
Anda fikir kerajaan baru akan lebih amanah, adil dan bersih? Anda sudah melihat bukti-buktinya di beberapa negeri yang ditadbir oleh pembangkang selama ini.
Anda akan kecewa jika anda berfikir secara rasional.
Anda sendiri tahu jawapannya.
Adalah tolol jika anda mengharapkan kehidupan anda akan menjadi lebih baik dengan menukar kerajaan.
Semua itu hanya ilusi dan persepsi awam, Anda terlalu berimaginasi yang dengan menukar kerajaan, negara akan menjadi lebih baik.
Jadi apa sebenarnya yang telah berubah? Anda hanya menukar kerajaan yang dominan Melayu kepada kerajaan yang dikuasai oleh orang-orang bukan Islam.
Apa yang sebenarnya telah berlaku adalah anda telah dijadikan kayu mata kapak untuk menebang pokok kayu. Anda telah dipergunakan oleh orang-orang bukan Islam untuk menguasai negara ini.
Kenapa saya katakan begitu? Apakah kebaikan perjuangan anda itu selain menjatuhkan kerajaan yang anda dakwa menyeleweng, sedangkan dalam sudut yang lebih luas, anda telah membenarkan orang-orang bukan Islam lebih berkuasa di negara ini.
Tidak salah saya kalau saya katakan anda sebenarnya telah diperdayakan oleh harapan palsu. Anda telah dibutakan oleh emosi kebencian anda yang ditanam oleh pembangkang setiap hari. Ia hanya seperti mengulangi kisah jenaka Pak Kaduk yang bersorak ayam laganya menang, tetapi lupa ayamnya telah ditukar.
Anda akhirnya akan sedar hanya dieksploitasi dan dimanipulasi oleh politikus-politikus Melayu pembangkang untuk kepentingan peribadi mereka dengan menggunakan isu-isu keburukan pemerintah sedia ada, sedangkan tiada apa-apa perubahan yang positif pun yang berlaku sebagaimana anda telah melihatnya di Selangor ataupun Pulau Pinang di bawah pemerintahan baru.
Dan anda akan sedar politikus-politikus itu pula hanya dijadikan alat oleh orang-orang bukan Islam menguasai negara ini.

Kredit - www.mysuara.net
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...