Isnin, 24 April 2017

Siapa Yang Cipta & Bagi Nama Malaysia???

Matapelajaran sejarah yang diajar di sekolah-sekolah negara kita tidak pernah menyatakan asal usul nama negara kita iaitu Malaysia, menyebabkan kebanyakan daripada kita pada hari ini menjadi kabur mengenai siapakah sebenarnya yang mencipta nama Malaysia ini. Jika dibandingkan dengan asal usul nama negara-negara jiran kita, agak jelas bahawa ‘Singapura’ diberi nama oleh Sang Nila Utama yang bermaksud Kota Singa (Pura = Kota), ‘Indonesia’ oleh James Richardson Logan yang bermaksud Kepulauan India (Indo=India, Nesos=pulau), dan ‘Brunei’ sempena nama Sang Aji Berunei, Raja Brunei yang pertama.


 

Jules Sébastien César Dumont d'Urville (23 Mei 1790 – 8 Mei 1842)


Maklumat terkini yang diperolehi menyatakan bahawa nama Malaysia sebenarnya telah mula-mula diperkenalkan oleh seorang pelayar berbangsa Perancis iaitu Jules Dumont d'Urville. Susulan daripada penjelajahan beliau ke kepulauan pasifik pada tahun 1826, beliau telah memperkenalkan tiga istilah iaitu ‘Malaisia’, ‘Micronesia’ dan ‘Melanesia’ yang membezakannya dengan budaya pulau-pulau di Polynesia. Pada tahun 1831, beliau telah mengemukakan ketiga-tiga istilah tersebut kepada Société de Géographie. Nama ‘Malaisia’ pada pandangan beliau merangkumi keseluruhan kawasan Kepulauan Melayu (Nusantara) yang pada hari ini meliputi kawasan selatan Thailand, Malaysia, Republik Singapura, Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Republik Filipina.


 



Seperkara lagi yang menarik, George Earl, seorang ahli etnologis berbangsa Inggeris telah memperkenalkan istilah Malayunesia pada tahun 1850 yang merujuk kepada kepulauan Indonesia pada hari ini. Bayangkanlah jika istilah tersebut masih digunakan pada hari ini, sudah tentu Indonesia pada hari ini bernama Republik Malayunesia. Secara psikologinya, nama yang hampir sama bagi kedua-dua buah negara ini sudah tentu mempengaruhi dan meyakinkan penduduknya bahawa mereka adalah dari satu rumpun dan budaya yang sama.

Penggunaan nama Malaysia juga telah direkodkan dalam akhbar The British North Borneo Herald (BNBH) bertarikh 1 Januari 1889 dalam laporan bertajuk “Geographical Notes in Malaysia and Asia” oleh J.E. Tenison-Woods, mengenai catatan perjalanannya ke semenanjung Tanah Melayu, Labuan, Brunei, Sandakan dan Sulu (Rujuk lampiran). Di Chicago, Amerika Syarikat, peta yang dikeluarkan pada tahun 1914 telah merujuk kawasan kepulauan nusantara ini sebagai “Malaysia”.



 




Sebuah buku berbahasa Itali pula telah ditulis oleh Emilio Salgari berjudul I Pirati Della Malesia dan telah diterbitkan di Itali pada tahun 1896 . Nico Lorenzutti telah menterjemah buku tersebut ke dalam Bahasa Inggeris dengan judul 'The Pirates of Malaysia'. 

 



TV3 pula pernah menyiarkan satu artikel daripada akhbar The British North Borneo Herald (BNBH) tetapi bertarikh 1 Julai 1929 mengenai bunga-bungaan di Negeri Sabah yang dirujuk nama kawasan tu sebagai “Malaysia”. Sementara sebuah buku keluaran Mc Millan, New York, yang dikarang oleh Rupert Emerson, dan diterbitkan pada tahun 1937 berkenaan dengan semenanjung Tanah Melayu diberi judul "Malaysia : Direct and Indirect Rule". 


  



Lain-lain fakta menarik :

1) Malaysia sepatutnya diisytiharkan pada 31 Ogos 1963. Tetapi disebabkan bantahan daripada negara jiran (Indonesia dan Filipina), ia terpaksa ditunda kepada 16 September 1963. Atas pertimbangan bahawa tarikh 31 Ogos 1957 merupakan tarikh asas kepada penubuhan sebuah negara persekutuan dan tarikh 16 September merupakan tarikh tundaan yang ditetapkan disebabkan tekanan yang timbul daripada negara luar, jadi Hari Kebangsaan masih lagi ditetapkan & disambut pada 31 Ogos setiap tahun, iaitu sebagaimana Amerika Syarikat menyambut hari kebangsaan mereka pada 4 Julai setiap tahun, walaupun tarikh kemerdekaan adalah berbeza-beza bagi negeri-negeri dalam Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, tarikh 16 September pada hari ini telah diisytiharkan sebagai Hari Malaysia dan dijadikan cuti umum.

2) Filipina pernah bercadang untuk menukar nama negara mereka kepada Malaysia, tetapi hasrat tersebut terpaksa dibatalkan selepas penubuhan Malaysia yang merangkumi Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak diisytiharkan secara rasmi pada 16 September 1963.

3) Menurut maklumat tidak rasmi, antara nama-nama alternatif yang turut dipertimbangkan untuk digunakan sebagai nama negara Persekutuan yang merangkumi Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak ialah ‘Langkasuka’, iaitu bersempena sebuah nama Kerajaan Melayu purba yang pernah menguasai kawasan utara tanah air kita.

4) Menurut maklumat tidak rasmi, selain Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak, pihak British juga menawarkan kawasan selatan Siam iaitu Patani, Jala (Yala), Menara (Narathiwat), Singgora (Songkhla) dan Setul (Satun) untuk sama-sama bergabung dan merdeka dalam Malaysia sebagaimana permintaan pemimpin dan pejuang Melayu di kawasan tersebut, memandangkan kawasan tersebut juga masih dihuni oleh majoriti penduduknya dari Bangsa Melayu. Tetapi telah ditolak oleh Tunku Abdul Rahman ketika itu untuk tidak menambah bantahan sebuah lagi negara jiran terhadap cadangan penubuhan Malaysia iaitu Thailand.

5) Di bawah ini pula merupakan antara cadangan rekabentuk bendera-bendera yang termasuk dalam senarai akhir untuk dipilih menjadi bendera Malaya dalam tahun 1949 dahulu, sebelum dibuat sedikit pengubahsuaian dan seterusnya digunakan sehingga kini apabila Negara Persekutuan Malaysia diisytiharkan :

 





Artikel berkaitan - Benarkah Jalur Gemilang diciplak dari bendera Amerika Syarikat..?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...