Jumaat, 27 Oktober 2017

Apa Nilai Kerakyatan Kalau Tak Fasih Berbahasa Kebangsaan?


TITAH Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah baru - baru ini yang mahu sekolah vernakular mengambil tanggungjawab untuk memastikan setiap pelajarnya fasih berbahasa kebangsaan dengan tahap setanding ataupun lebih baik daripada pelajar di sekolah kebangsaan sangat tepat pada masanya.
Apa tidaknya, setelah lebih 60 tahun merdeka, masih terdapat ramai rakyat Malaysia terutamanya yang bukan Melayu gagal menguasai bahasa itu dengan baik. Memang benar titah baginda, ianya begitu janggal dan ironis untuk melihat seorang yang memiliki kewarganegaraan Malaysia, dilahirkan dan dibesarkan di negara ini selama bertahun-tahun masih lagi tidak mampu untuk memahami, bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa kebangsaan sementelah ianya satu faktor penting dalam pembentukan sebuah identiti bangsa.
Penguasaan bahasa kebangsaan yang lemah dalam kalangan pelajar-pelajar di sekolah vernakular bukanlah satu isu baharu. Malah ianya sudah didebat dan dibincangkan selama bertahun-tahun. Isunya bukanlah setakat sejauh mana pelajar-pelajar di sekolah berkenaan menguasai bahasa kebangsaan itu, tetapi jauh lebih penting adalah bagaimana pembudayaannya dalam kalangan pelajar bukan Melayu boleh membantu mencapai perpaduan antara masyarakat berbilang kaum yang sejak sekian lama menjadi misi dan objektif pendidikan nasional.
Kalau Mampu Berbahasa Inggeris, Mengapa Tidak Bahasa Melayu?
Hari ini, kita begitu sedih apabila melihat sesetengah figura awam terutamanya ahli politik masih lagi ‘merangkak’ dan gagap berbahasa Malaysia meskipun komunikasi mereka dalam bahasa Inggeris amat baik. Perkara ini boleh kita lihat dengan jelas dalam sesi perbahasan di Parlimen, sidang media mahupun dalam ceramah-ceramah mereka di atas pentas politik. Apa yang menyedihkan, mereka ini bukanlah ahli politik yang biasa-biasa. Sebahagian mereka malah menduduki jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran samada di peringkat negeri mahupun di peringkat pusat. Kita pun tak tahu samada hendak ketawa atau hendak marah bila mendengar perkataan ‘malu’ bertukar menjadi ‘kemaluan’, ‘burung’ menjadi ‘bulung’, dan ‘seolah-olah’ menjadi ‘seolah-seolah’.
Maka timbul persoalan mengenai apakah faktor yang menyebabkan perkara malang ini terus berlaku. Apakah mereka tidak begitu bercampur dan bergaul dalam komuniti masyarakat yang pelbagai bangsa? Tatkala mereka mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, mengapa mereka mengesampingkan keutamaan berbahasa kebangsaan dalam kehidupan mereka?
Agak memalukan bagi mereka apabila kita melihat begitu ramai warga ataupun pekerja asing khususnya dari Bangladesh, Myanmar dan Nepal mampu menguasai bahasa Malaysia dengan agak baik meskipun baru sahaja berada di negara ini selama beberapa bulan. Penguasaan mereka dalam konteks ini malah jauh lebih baik daripada sebahagian rakyat yang dilahirkan dan membesar di Malaysia sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.
Identiti Rakyat
Penguasaan bahasa kebangsaan yang tidak memuaskan dalam kalangan sebahagian rakyat bukannya isu kecil dan tidak sepatutnya diambil ringan. Ia membawa implikasi yang amat besar dalam pelbagai aspek kehidupan mereka sebagai rakyat. Sejauh mana seseorang itu menguasai bahasa kebangsaan mencerminkan setinggi mana nilai patriotisme yang ada dalam dirinya. Ianya adalah mengenai perpaduan dan kesetiaan rakyat kepada ibu pertiwi. Sepenting mana kita melihat nama, bendera ataupun mata wang mewakili identiti sebuah negara, maka sepenting itu jugalah kita perlu melihat identiti yang dibentuk oleh bahasa kebangsaan. Maka atas pertimbangan itu, apalah ertinya menjadi rakyat negara ini kalau masih tidak mahu dan tidak tahu untuk bertutur dalam bahasa rasmi?
Halangan Ke Arah Pembentukan Negara Bangsa
Kebimbangan mengenai perkembangan yang tidak baik ini pernah disuarakan oleh pakar bahasa negara, Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong. Melihat kepada namanya sahaja kita tahu bahawa beliau berbangsa Cina. Biarpun demikian, beliau tetap mengakui bahawa kewujudan rakyat, khususnya anak muda Cina, yang langsung tidak tahu berbahasa kebangsaan walaupun lahir dan membesar di Malaysia adalah satu realiti yang benar-benar berlaku. Mengulas perkara itu, beliau yang juga Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyimpulkan bahawa pembentukan negara bangsa di Malaysia kini nampaknya mengalami masalah besar.
Ini diburukkan pula oleh keengganan sebahagian besar ahli politik untuk memberi penekanan terhadap perkara ini kerana mereka risau akan membangkitkan kemarahan orang bukan Melayu yang akhirnya akan mempengaruhi pola undian terhadap mereka kelak. Jelas, mereka juga nampaknya tidak mempunyai kehendak politik yang kuat untuk menambah baik situasi ini. Jika beginilah keadaannya, gagasan 1Malaysia yang dicetuskan perdana menteri akan hanya tinggal angan-angan, dan sekaligus akan terus melebarkan jurang antara kaum. Natijahnya pula, kita akan terus berdepan halangan demi halangan dalam menggapai agenda perpaduan nasional.
Hargai Keterbukaan Kerajaan
Walaupun pembudayaan bahasa kebangsaan yang lemah di sekolah vernakular selalu sahaja dikaitkan sebagai antara halangan bagi mencapai perpaduan bangsa, namun untuk menyalahkan institusi itu secara sepenuhnya juga bukanlah satu tindakan yang tepat. Di sana masih terdapat segmen besar dalam masyarakat yang melihat kewujudan sekolah ini begitu penting dalam usaha pemeliharaan budaya satu-satu bangsa di negara ini. Atas sebab itu, kerajaan bersifat terbuka untuk membenarkan institusi ini terus beroperasi walaupun pada hakikatnya pendirian seumpama itu hampir tidak ada sama sekali dalam proses pembentukan bangsa di negara-negara lain, dengan Indonesia sebagai contoh terdekat.
Mengambil semangat perlembagaan persekutuan seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 152, maka sewajarnyalah pihak pengurusan sekolah-sekolah vernakular menterjemahkan penghargaan mereka terhadap keterbukaan kerajaan dalam hal ini dengan memastikan pembudayaan bahasa kebangsaan di institusi itu diperkasakan secara serius dan tidak lagi dikesampingkan.
Sememangnya pendidikan adalah wahana terbaik dalam usaha memupuk perpaduan antara rakyat yang berbilang kaum. Justeru, ianya amatlah penting bagi rakyat di segenap lapisan masyarakat untuk faham bahawa dalam arus globalisasi hari ini, definisi kedaulatan negara dan kerakyatan seseorang itu tidak lagi hanya terhad kepada tanah kelahiran mahupun tempat membesar semata-mata, bahkan ia perlu ditakrifkan melalui sejauh mana individu tersebut meletakkan identifikasi dirinya dengan bahasa rasmi negara yang didudukinya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...