Melihatkan tindak balas skeptikal dan sinis majoriti komen dan perkongsian mengenai isu aspirasi dan perancangan Geely untuk menghasilkan kereta terbang ini agak mengecewakan sebenarnya. Ramai juga yang mengkritik tanpa mengambil tahu akan gerakan perkembangan teknologi itu sendiri. Pada aku, kita sepatutnya menyokong usaha dan inovasi kreatif ini untuk dilestarikan di dalam negara kita melalui Proton. Andaikata kita tidak mampu membelinya, impak positif inovasi tersebut boleh menjadi aspirasi di masa hadapan dalam melahirkan #bangsarekacipta.
Tiada apa yang tidak rasional mengenai kereta terbang. Semuanya jenis inovasi teknologi melalui penambahbaikan secara berterusan dalam mengaplikasikan sepenuhnya elemen disruptif supaya ianya terus menjadi semakin relevan di masa hadapan.
Proton merupakan lambang tamadun perindustrian yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kita sebagai rakyat Malaysia sepatutnya menyokong penuh inisiatif tersebut. Secara asasnya bagi yang tahu tentang perkembangan teknologi Proton, sudah pasti perasan yang Proton sebenarnya tidaklah terlalu ketinggalan dari segi teknologi. Cuma dalam beberapa ketika, akibat dari permasalahan berkenaan pelan sistem reliabiliti Proton daripada pelbagai segi yang menjadi penyebab harimau biru itu lumpuh.