Khamis, 28 Disember 2017

AMANAH DANA ANAK MALAYSIA 2050 (ADAM50)


Umum 

Apakah itu Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (“ADAM50”)?

ADAM50 merupakan satu program baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (“PNB”) kepada semua bayi warganegara Malaysia, yang lahir dalam tempoh masa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.

Objektif utama ADAM50 adalah untuk menggalakkan budaya simpanan dan pelaburan rakyat Malaysia daripada seawal usia baru lahir, dengan pemberian unit insentif percuma sebagai modal pelaburan permulaan.

Unit insentif percuma akan dikreditkan ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera atau Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) bagi bayi bukan Bumiputera setelah proses pendaftaran dibuat di Cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (“ASNB”) dan Ejen ASNB*.


*ASNB ialah anak syarikat milik penuh PNB yang bertanggungjawab untuk mengurus tabung unit amanah ASB dan AS 1Malaysia.


Apakah ciri-ciri istimewa program ini?


Ibu bapa/penjaga berdaftar atau pihak ketiga boleh menambah pelaburan dalam akaun bayi mereka sehingga had maksimum yang ditentukan iaitu had terkini Akaun Bijak/Remaja ASB bagi Bumiputera dan had 50,000 unit ditetapkan untuk AS 1Malaysia bagi bukan Bumiputera.

Had pelaburan maksimum ini adalah termasuk 200 unit insentif yang diberikan.


Berapakah jumlah unit insentif yang diberikan?

Sebanyak 200 unit percuma diperuntukkan bagi setiap bayi warganegara Malaysia yang lahir dalam tempoh masa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.


Adakah unit percuma ini boleh dijual balik?

200 unit insentif dan semua pengagihan pendapatan serta sebarang pengagihan tambahan yang diperolehi (sekiranya ada) dari unit insentif ini hanya boleh dikeluarkan setelah anak mencapai usia 18 tahun.


Bolehkah pendaftaran ADAM50 dilakukan pada bila-bila masa?

Pendaftaran hendaklah dilakukan dalam tempoh maksimum setahun selepas tarikh lahir bayi tersebut.

Sebagaimana contoh, sekiranya bayi dilahirkan pada 2 Januari 2018, ibu bapa atau penjaga berdaftar hendaklah melakukan pendaftaran selewat-lewatnya pada 2 Januari 2019.

Sekiranya ibu bapa atau penjaga gagal mendaftar dalam tempoh tersebut, kelayakan untuk menadapatkan unit insentif percuma akan terbatal.


Siapakah yang layak untuk melakukan pendaftaran ADAM50?

Syarat umum pendaftaran akaun ADAM50 adalah seperti berikut:

Warganegara MalaysiaBumiputera – ASB
Bukan Bumiputera – AS 1Malaysia

Ibu bapa atau penjaga berdaftar hendaklah berumur 18 tahun dan ke atas sewaktu pendaftaran dilakukan


Sekiranya pendaftaran dilakukan oleh individu selain ibu atau bapa kepada bayi tersebut, dokumen sokongan seperti surat pertalian darah atau Perintah Mahkamah hendaklah dibawa bersama.


Bolehkah peserta ADAM50 menarik diri selepas pendaftaran dilakukan?

Tidak. Peserta tidak boleh menarik diri setelah pendaftaran dilakukan, melainkan peserta tidak lagi memenuhi kriteria kelayakan am pelaburan ASNB, sebagai contoh status pertukaran Wargenegara.


Bilakah ADAM50 akan mula dilaksanakan?

1 Januari 2018.


Adakah terdapat sebarang kuota berdasarkan etnik bagi ADAM50?

Tiada. Unit yang diperuntukkan dalam AS 1Malaysia bagi tujuan ADAM50 adalah terbuka kepada semua bayi warganegara Malaysia bukan Bumiputera, tanpa mengira etnik.


Berapa lamakah tempoh penyertaan ADAM50?

Akaun peserta akan mencapai tempoh matang setelah mencapai usia 18 tahun. Selepas itu, status akaun akan berubah menjadi Akaun Dewasa dan segala unit insentif beserta pengagihan pendapatan (sekiranya ada) boleh dikeluarkan seperti biasa.

Had maksimum individu peserta juga akan berubah mengikut had individu sedia ada bagi Akaun Dewasa ASB (bagi bumiputera), manakala tiada had bagi AS 1Malaysia, tertakluk kepada baki tabung sedia ada.


Kriteria Kelayakan

Apakah kriteria–kriteria kelayakan bagi ADAM50?

Lahir pada atau selepas 1 Januari 2018
Warganegara MalaysiaIbu/bapa atau Penjaga berdaftar berwarganegara Malaysia dan berumur 18 tahun dan ke atas
Peserta serta Penjaga Berdaftar tidak diisytiharkan muflis sepanjang tempoh pelaburan

Sekiranya saya berkahwin dengan Bukan Warganegara, adakah anak saya masih layak menyertai ADAM50?

Seperti yang dinyatakan tadi, bayi hendaklah warganegara Malaysia, dan lahir pada atau selepas 1 Januari 2018.

Bagi kes ini, sekiranya bayi tersebut adalah warganegara Malaysia, proses pendaftaran hendaklah dibuat oleh ibu atau bapa/penjaga yang berstatus warganegara Malaysia.


Sekiranya anak saya lahir pada 31 Disember 2017, adakah anak saya layak menyertai ADAM50?

Tidak layak. Hanya bayi yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2018 yang layak menyertai ADAM50


Cara-cara Memohon

Bagaimanakah saya membuat pendaftaran untuk menyertai program ADAM50?

Ibu bapa atau penjaga berdaftar boleh datang ke Cawangan ASNB atau mana-mana ejen ASNB di seluruh negara:

Maybank
Maybank Islamic
CIMB
CIMB Islamic
RHB
RHB Islamic
Pos Malaysia
*Bank Simpanan Nasional (“BSN”)
Affin Bank
*Alliance Bank
AmBank
AmBank Islamic


*BSN & Alliance Bank masih tidak dapat melaksanakan urus niaga ASB dan AS 1Malaysia sehingga dimaklumkan kelak


Apakah dokumen-dokumen yang diperlukan semasa pendaftaran?

Dokumen yang perlu dibawa semasa pendaftaran adalah seperti berikut:

Dokumen pengenalan diri (MyKad) ibu/bapa/penjaga berdaftar
Dokumen pengenalan diri (MyKid) bayi atau Sijil Kelahiran (sekiranya MyKid masih belum diterima)
Sebarang dokumen sokongan seperti Surat Pertalian Darah, perintah mahkamah dan lain-lain jika penjaga berdaftar bukan dalam kalangan ibu atau bapa bayi


Nota: Ibu atau bapa yang datang untuk membuat pendaftaran ADAM50 digalakkan untuk mengemaskini butiran pasangan dan anak-anak yang lain bagi tujuan hebahan perancangan kewangan yang dibuat oleh ASNB pada masa akan datang.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...