Sabtu, 6 Januari 2018

Ringgit semakin kukuh



Hari ini akhirnya, setelah hampir 2 tahun, USDMYR didagangkan di paras bawah 4.00 dan ditutup pada paras 3.9975 buat kali pertama sejak Mei 2016.

Pengukuhan Ringgit ini telah pun dijangka sepertimana yang saya banyak kali terangkan pergerakan Ringgit dipengaruhi pergerakan harga minyak dunia kerana kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga (minyak dan gas). Sejak 2014 harga minyak dunia menjunam sehingga ke paras US$30 setong pada awal 2016. Kesannya hasil eksport dan pendapatan daripada minyak dan gas Malaysia juga jatuh menyebabkan aliran keluar modal dari Malaysia ke negara luar memberi tekanan kepada Ringgit sehinggakan menjunam ke paras hampir 4.5000 berbanding US Dollar.

Sepanjang 2016 dan 2017 harga minyak mentah dunia mula meningkat semula sehinggalah hari ini didagangkan melebihi harga US$67 setong begitu juga Ringgit yang mengukuh secara konsisten tidak terlalu cepat, tidak terlalu lambat.


Faktor lain pengukuhan Ringgit adalah penyusutan US Dollar yang didorong dasar fiskal/belanjawan yang longgar oleh Amerika Syarikat dengan pemotongan cukai oleh Presiden Donald Trump. Apabila sesebuah kerajaan mengamalkan dasar fiskal yang longgar atau dalam erti kata lainnya memotong cukai dan menambah perbelanjaan matawang negara tersebut akan melemah atau menyusut.

Keadaan ekonomi global yang semakin pulih dan ketidaktentuan ekonomi dan pasaran kewangan China juga menyokong pengukuhan Ringgit selaku negara terbuka yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa (eksport dan import). Setakat November 2017, eksport Malaysia meningkat 22.4% dengan hasil eksport meningkat sehingga RM856 billion berbanding RM711 billion bagi tempoh Januari - November 2016. 

Hari ini bukti bahawa Ringgit sebenarnya bukanlah jatuh kerana Malaysia terlampau banyak rasuah, kerana 1MDB, kerana Najib tak letak jawatab atau kerana UMNO Barisan Nasional.

Kalau benar Ringgit jatuh seperti sebab di atas, ianya tidak akan pulih perlahan-lahan sejak pertengahan 2016 sehingga hari ini. Bukankah bagi pembangkang Malaysia masih banyak rasuah, 1MDB masih belum selesai, Najib masih Perdana Menteri dan UMNO BN masih kerajaan Malaysia? 

Baru-baru ini semasa konvensyen parti Mahathir, dia menjanjikan bahawa Pakatan akan menjadikan pemulihan Ringgit sebagai keutamaan sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya. 




Hari ini juga bukti Ringgit tidak memerlukan Pakatan untuk pulih semula. 

Ada juga mereka yang tak faham bahasa tanya bila USD/MYR akan mencecah kurang dari 3.8000? Bila akan jadi 3.2000 macam dulu-dulu? 

Dulu bila USD/MYR di bawah 3.8000 atau 3.2000 sebelum 2015 berapakah harga minyak dunia setong pada masa itu? Lebih US$100. Sekarang baru US$65-US$67 setong. Selagi harga minyak tak cecah paras macam dulu, selagi tu lah Ringgit takkan kembali ke paras macam dulu.

Ada pulak jenis yang tak puas hati tengok Ringgit berbanding US Dollar, dia tanya pulak kenapa Ringgit berbanding Thai Baht masih sekitar 8.00? Kenapa tak RM1 sama dengan 10 Baht macam dulu?

Jawapannya tetap sama sebab harga minyak dunia masa MYR/THB 10.000 dulu lebih US$100. Malaysia pengeksport minyak & gas bersih, Thailand pula pengimport minyak & gas bersih. Bila harga minyak jatuh yang untung pengeksport ke pengimport? Itu pun MYR/THB dah meningkat daripada 7.8000 sampai 8.0400. Apa yang risau sangat Ringgit bawah 10.000 Baht? Tiap-tiap minggu pergi Danok ke?

Begitulah orang tak faham ekonomi dan kewangan, bila Ringgit pulih perlahan-lahan dia akan cari point lain sebab tak boleh terima Ringgit bukan jatuh sebab 1MDB, rasuah, Najib, UMNO dan lain-lain.

Ke mana halatuju Ringgit selepas ini? Saya tak tahu, tak ada siapa yang tahu. Kalau ada yang kata mereka tahu, itu semua hanya ramalan dan tekaan. Ringgit akan bergerak bergantung kepada pergerakan harga minyak dunia dan faktor-faktor luaran yang lain seperti dasar-dasar ekonomi Amerika Syarikat dan iklim ekonomi dunia termasuk China. 

Kalau masa USD/MYR melebihi 4.00 dulu banyak pakar matawang segera tumbuh bagai cendawan selepas hujan sampai boleh viral sana sini, kini USD/MYR jatuh bawah 4.00 mana pergi agaknya semua pakar-pakar tersebut?  - SYAHIR




Rujukan:

1. USDMYR Exchange Rate - Bloomberg: https://www.bloomberg.com/quote/USDMYR:CUR

2. Pulihkan Ringgit jadi keutamaan jika Pakatan berjaya tawan Putrajaya: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/30022/

3. Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia November 2017 - DOSM: https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=139&bul_id=SGZobjNCd2g0NHZCZTNkN0syNWZlZz09&menu_id=azJjRWpYL0VBYU90TVhpclByWjdMQT09

Baca tulisan saya tentang Ringgit baru-baru ini: 
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10214571490538990&id=1173231958

Baca juga tulisan saya tentang Ringgit sepanjang dua tahun lepas:

i) Ringgit, Siam dan Kertas Tandas: http://syahir521.blogspot.my/2016/12/ringgit-tak-laku-dekat-thailand.html

ii) Of Ringgit, Donald Trump and Irrationality: http://syahir521.blogspot.my/2016/11/of-ringgit-donald-trump-and.html

iii) Will 2017 Bring Sanity and Serenity to Tony Pua: http://syahir521.blogspot.my/2017/01/will-2017-bring-sanity-and-serenity-for.html

iv) SingDollar vs Ringgit Malaysia: http://syahir521.blogspot.my/2017/03/singdollar-vs-ringgit-malaysia.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...