Isnin, 13 Ogos 2012

Kaji semula kerjasama PR, Hasan Ali gesa Pas,,,!!



KUALA LUMPUR - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, Pas  perlu mengkaji semula kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ini kerana menurut Hasan, Pas sehingga kini berdiam diri dan gagal dengan pendirian mereka sebelum ini dalam menegakkan Islam dan melaksanakan hudud.

Hasan berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib sebelum ini, yang jelas  satu ketika dahulu mengatakan, Pas perlu laksanakan hudud dan tidak akan ketepikan undang-undang Islam.

Harun Taib pernah katakan bahawa Pas akan pilih rakan baru sekiranya undang-undang Islam gagal ditegakkan.

Katanya, dalam format kini, Pas telah gagal melaksanakannya apa yang dikatakan oleh Harun Taib itu, bahawa  Pas kini perlu memilih  rakan baru dalam perjuangannya.

"Pemimpin Pas dan Dewan Ulama perlu mengkaji semula kedudukan Pas dalam Pakatan.

"Tidak boleh biarkan bersetuju untuk tidak bersetuju. Pas kena yakin dan menegakkan konsep dan objektif mereka sebelum ini untuk  menegakkan negara Islam," katanya.

Menurut Hasan, tindakan Pas yang terus berdiam diri itu kerana takut akan ditolak oleh pengundi bukan Islam.

"DAP sangat konsisten bahawa Malaysia  menyatakan Islam adalah agama rasmi dan bukannya agama Persekutuan.

"Implikasinya sangat besar dan DAP tidak pernah gunakan agama Persekutuan dan menggunakan Islam sebagai agama rasmi," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia berkata,  menyatakan rasa sedihnya dengan kepimpinan Pas yang berdiam diri, dan sehingga kini tidak bersuara.

"Amat malang pemimpin Pas tidak berani bersuara. Semakin lantang penolakan negara Islam  dan hudud oleh DAP, pemimpin Pas hanya berdiam diri.

"Mereka tidak mahu menjejaskan undi orang  bukan Islam terhadap mereka seterusnya menjejaskan peluang mereka ke Putrajaya." katanya.

Katanya, Majlis Syura seharusnya memainkan peranan dengan membawa perkara penting  dibawa bersama ke mesyuarat Pakatan dan bukan peringkat Pas Pusat sahaja.

Dalam pada itu, Hasan yang juga Presiden Jati mengumumkan penubuhan  sebuah  unit di bawah badan itu, yang diberi nama Yayasan Murni Akidah akan menjadi platform dalam menangani masalah permasalahan akidah.

Jelasnya,penubuhan Yayasan itu lebih menyeluruh rangkumannya dan tidak terhad seperti asalnya Unit Selamatkan Akidah,  sewaktu beliau menyandang  jawatan Exco Hal Ehwal Agama Selangor sebelum ini.

"Dengan penubuhan Yayasan, skopnya lebih  luas dan tidak terbatas sepertimana unit," katanya kepada pemberita pada sidang media pada majlis berbuka puasa bersama 100 masyarakat Islam yang pernah menerima bantuan pihak gereja sebelum ini.

Menurutnya, Yayasan Murni Akidah akan mengkaji punca permasalahan akidah yang dialami masyarakat Islam daripada pelbagai sudut dengan melibatkan pelbagai individu termasuk golongan akademik.

Seterusnya, kata Hasan, Yayasan akan mengemukakan pandangan daripada hasil kajian tersebut dalam bentuk proposal ke peringkat pentadbiran Kerajaan untuk tindakan selanjutnya selain usaha bersama Jati dan pihak lain.

"Jati telah mengenal pasti gerakan kritianisasi ini juga semakin menular ke sekolah,hospital selain golongan miskin dan memerlukan bantuan.

"Justeru, Yayasan Murni Akidah akan mengkaji punca dan langkah menanganinya supaya ianya dapat dibendung," katanya.

Hasan berkata, Yayasan kini dalam proses pendaftaran dan  ditubuhkan secara rasminya selepas Aidilfitri. Sinar Harian


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...