Isnin, 13 Ogos 2012

Kerajaan Negeri Kelantan digesa tangani segera masalah air..



KOTA BHARU - Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) menggesa Kerajaan Kelantan mengambil tindakan drastik masalah air yang dihadapi penduduk Pasir Mas dan Tumpat terutama menjelang perayaan Aidilfitri ini.

Presidennya, Azmi Ali berkata, sepatutnya syarikat air tiak hanya menunggu loji air di Pasir Mas dibaik pulih sahaja, sebaliknya inisiatif membantu penduduk termasuk tidak mengagihkan air bersih kepada mereka.

“Dalam tempoh seminggu tiada air, macam-macam masalah boleh timbul seperti boleh berlaku cirit-birit, namun dengan adanya tindakan prihatin Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, sebanyak 3,000 liter air mineral diagihkan.

“Memandangkan jumlah penggunaan air dijangka meningkat secara mendadak empat hingga lima kali ganda dari penggunaan biasa pada Hari Raya Aidilfitri ini, masalah air perlu diatasi segera,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Sementara itu, MTRK turut menghargai Kerajaan Pusat yang meluluskan peruntukan sebanyak RM2.8 juta bagi mengatasi masalah air yang kritikal di Kelantan.

Beliau berkata, peruntukan yang diluluskan sebanyak RM200,000 bagi setiap parlimen di negeri ini membolehkan pelan bantuan kecemasan dapat digerakkan.

“Secara anggaran, 50,000 pengguna air di Pasir Mas mengalami masalah dalam tempoh seminggu baru-baru ini dan pada 5 Ogos lalu, MTRK memajukan masalah itu melalui memorandum kepada Perdana Menteri yang mengadakan lawatan ke negeri ini.

“Peruntukan itu digunakan untuk memasang mesin penapis air yang menggunakan teknologi osmosis terbalik di empat kampung iaitu Kampung Tualang, Derdap (Tumpat) dan dua kampung di Pasir Mas iaitu Tokla dan Kubang Bemban,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Azmi berkata, kelulusan itu diumumkan kelmarin Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengambil langkah prihatin menyelesaikan masalah air paling teruk di dua daerah.

Kata beliau, mesin penapis air itu yang kini digunakan penduduk kampung di Tumpat terbukti berkesan dalam memproses air kotor dan selamat diminum.

“Atas inisiatif MTRK melalui media memperjuangkan masalah penduduk di sekitar Tumpat yang terpaksa bergantung kepada air kotor termasuk kolam itik dan bendang untuk kegunaan harian, masalah ini mendapat perhatian.

“Pendedahan ini membuka hati sebuah syarikat swasta dari Kuala Lumpur, Bio Ultra Sdn Bhd menderma sebuah mesin penapis air untuk kegunaan penduduk,” katanya. Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...