Selasa, 14 Ogos 2012

Rakyat Malaysia diculik lanun di Teluk Guinea, Nigeria selamat,,,

                 Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Datuk Muhd Khairun Aseh 


KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata api di Teluk Guinea, Nigeria pada 4 Ogos lepas berada dalam keadaan selamat.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Datuk Muhd Khairun Aseh berkata keadaan mangsa George Lipih Ambo, 42, dari Sri Aman, Sarawak yang bertugas sebagai juruelektrik kapal milik Sea Trucks Group, diperoleh hasil komunikasi melalui pihak ketiga.

"Biro Aduan secara proaktif sejak 6 Ogos lepas berjaya berkomunikasi dengan pihak ketiga di Lagos, Nigeria yang bertindak sebagai pemudahcara perhubungan dengan kumpulan lanun terbabit dan jaminan telah diberikan kumpulan itu bahawa mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak dicederakan.

"Rundingan bagi membebaskan George juga sedang dijalankan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Atas dasar keselamatan, Muhd Khairun bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai permintaan sebagai pertukaran kumpulan lanun terbabit selain menyatakan tumpuan harus diberikan kepada misi pembebasan mangsa penculikan.

Beliau berkata dalam setiap usaha yang dijalankan untuk membebaskan mangsa, pihaknya sentiasa berhubung dengan Bahagian Afrika, Wisma Putra dan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria termasuk Majlis Keselamatan Negara.

"Saya yakin kumpulan lanun ini masih mempunyai timbang rasa dan merayu kepada mereka agar melepaskan mangsa yang tidak berdosa ini memandangkan pelbagai inisiatif diambil ramai pihak dalam membebaskan George.

"Kita juga bersimpati dengan nasib tiga lagi mangsa, masing-masing rakyat Indonesia, Iran dan Thailand yang turut diculik kumpulan lanun itu," katanya.

Muhd Khairun berkata George pada tahun lepas pernah diserang di atas kapal syarikat yang sama di perairan sama oleh sekumpulan lanun, bagaimanapun serangan itu tidak membabitkan sebarang kecederaan.

"Dalam kejadian tahun lepas, kapal tempat George bekerja diserang sekumpulan lanun, tetapi mereka tidak mencederakan mangsa sebaliknya hanya meminta makanan.

Ini berlaku mungkin kerana kawasan perairan itu memang terkenal dengan aktiviti lanun," katanya.
"Saya berpendapat rakyat Malaysia yang ingin bekerja di luar negara perlu diberikan maklumat terperinci tentang situasi geopolitik sesebuah rantau agar mereka boleh mempertimbangkan sama ada akan meneruskan niat bekerja di kawasan yang dikenal pasti berisiko.

"Kerajaan harus memperkemaskan mekanisma dan mencari jalan bagaimana kita boleh salurkan maklumat geopolitik ini supaya rakyat kita mendapat maklumat yang jelas tentang keadaan geopolitik serta sebarang risiko yang bakal dihadapi di sesebuah rantau itu," katanya.

Muhd Khairun berkata tanpa panduan maklumat geopolitik itu, rakyat Malaysia mungkin berdepan kesukaran terutamanya membabitkan aspek keselamatan.

Sementara itu, isteri George, Bibi Suntek, 42, berkata suaminya dijadual pulang ke tanah air awal Oktober ini selepas tiga bulan berada di atas kapal.

"Kali terakhir suami hubungi saya ialah seminggu sebelum kejadian dan saya tidak sangka perkara ini akan berlaku kepadanya," kata beliau.

Bibi berkata selepas menerima berita mengenai suaminya diculik, anak kedua mereka Bill Ester, 15, terus demam panas kerana tidak dapat menerima kenyataan tersebut sementara anak sulung mereka Nathaniel Japang, 18, terpaksa menangguhkan latihan praktikalnya.

Beliau berkata anak bongsu mereka Aaron Jay, 12, ada menghubungi bapanya melalui laman sosial Facebook untuk bertanya khabar sebelum kejadian.

Bibi berkata semalam merupakan hari ulang tahun kelahiran George dan setiap tahun mereka akan meraikannya tetapi tahun ini, ia amat memilukan berikutan kejadian malang yang menimpa suaminya itu.

Dalam kejadian serangan maut di Teluk Guinea pada awal pagi 4 Ogos lepas ke atas dua kapal milik Sea Trucks Group yang menyediakan perkhidmatan kapal sokongan syarikat minyak dan gas di Nigeria itu, dua anggota tentera laut yang mengawal kapal berkenaan terbunuh, dua lagi cedera manakala dua selamat.- Bernama



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...