Rabu, 30 Januari 2013

Selangor cadang bubar Dun selepas Cap Goh Mei


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) selepas sambutan Cap Goh Meh bulan depan.

Katanya cadangan itu tertakluk kepada perbincangan dengan pemimpin tertinggi pakatan pembangkang sebelum pihaknya memutuskan perkara berkenaan.

"Kalau selepas Cap Goh Meh ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak membuat sebarang pengumuman atau memberi apa-apa indicator berhubung tarikh pilihan raya, kita bercadang untuk melakukan perkara ini (bubarkan DUN).

"Kita merasakan rakyat yang memilih kita sudah bersedia (untuk pilihan raya) dan mereka tidak patut menunggu lama lebih daripada tempoh yang sepatutnya (untuk membubarkan Dun)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri bersedia untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan kerajaan Persekutuan, Abdul Khalid tidak menolak perkara itu.

"Kita tiada sebarang halangan (untuk mengadakan pilihan raya serentak), dulu saya ada kata kerajaan negeri tidak boleh membuat pilihan raya sebelum perbentangan bajet negeri Selangor, sekarang ini pembentangan bajet pun dah selesai jadi kita bersedia untuk bubarkan Dun," katanya.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, dalam petikan perkara-perkara berhubung kait dengan urusan pilihan raya iaitu perkara LXX. (2), Duli Yang Maha Mulia boleh memprorogkan atau membubarkan Dewan Negeri.

Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Dewan Negeri hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh persidangan pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...