Sebelum terjadinya insiden
pencerobohan bersenjata di Sabah oleh sekumpulan pengganas Sulu, rakyat
Malaysia tidak pernah ambil tahu siapa Pastor 'Boy' Saycon kerana nama itu
tidak pun wujud dalam kamus kehidupan rakyat negara ini.
Hanya sekarang baru kita ketahui
nama Pastor 'Boy' Saycon itu rupanya milik seorang paderi Kristian warganegara
Filipina yang juga adalah penasihat kepada Jamalul Kiram III sejak 12 tahun
lalu khususnya melibatkan hubungan asing, ekonomi dan kebudayaan.
Malah paderi ini 'Boy' Saycon juga
turut terlibat secara langsung selaku penasihat utama semasa Jamalul Kiram
mengemukakan tuntutan ke atas Sabah melalui saluran pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) tidak berapa lama dulu.
Lelaki berbadan gempal bercermin
mata dan berkulit putih itu juga dikenali sebagai political strategist dan
masih memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Majlis Untuk Hal-Ehwal Filipina
(COPA).
Dalam pada itu, ramai rakyat
Malaysia sebenarnya tertanya-tanya kenapa Jamalul Kiram sebagai seorang yang
beragama Islam boleh mengambil seorang paderi sebagai penasihat?
Mungkinkah disebabkan kepandaiannya
dalam bidang ekonomi dan mahir merencanakan hubungan dengan pihak luar untuk
kepentingan Jamalul Kiram misalnya mendapatkan bantuan kewangan untuk pembelian
senjata dan sebagainya?
Baru-baru ini Biro Penyiasatan
Nasional Filipina (NBI) telah memulakan siasatan terhadap paderi terbabit bagi
mengetahui sejauh mana keterlibatannya dengan perancangan Jamalul Kiram dalam
menceroboh Sabah.
Sebagai penasihat tentu sahaja wujud
peranannya, lagi pun paderi itu sendiri pernah mengakui telah menasihati
Jamalul Kiram supaya membatalkan empat perancangan awal untuk menyerang Sabah
oleh kumpulan pengganas Sulu yang di ketuai Agbimuddin Kiram, adik kepada
Jamalul Kiram.
Salah satunya melibatkan perancangan
serangan pada bulan Ogos 2012, iaitu selepas dua kali Ketua Umum PKR, Anwar
Ibrahim bertemu dengan bekas pemimpin utama MNLF, Nur Misuari.
Jika sebelumnya paderi itu
mengetahui butir-butir perancangan serangan, mustahil pencerobohan yang terjadi
di Lahad Datu tempohari langsung tiada dalam pengetahuannya, bukan begitu?