Jumaat, 8 Mac 2013

Timbalan Pengerusi SPR fail saman terhadap Mat Sabu..



Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar telah memfailkan saman terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan lidah rasmi Pas, Harakah kerana didakwa menerbitkan artikel yang berunsur fitnah terhadap beliau.

Artikel yang didakwa memfitnah beliau itu bertajuk "Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai" dan "Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan" yang disiarkan dalam Harakah edisi 1 hingga 3 Februari 2013.

Tuntutan saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Mac lalu dan pengurusan kes tersebut ditetapkan pada 20 Mac ini.

Dalam saman tersebut, Wan Ahmad menamakan Mohamad; Setiausaha Agung Pas dan pemegang permit Harakah, Datuk Mustafa Ali; syarikat percetakan Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd.; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman serta wartawan Harakah, Aziz Muda sebagai defendan-defendan.

Dalam sidang akhbar di kediamannya di Seksyen 11 di sini hari ini, Wan Ahmad berkata, tindakan saman tersebut menunjukkan betapa seriusnya beliau untuk membersihkan nama dan kredibilitinya sebagai Timbalan Pengerusi SPR.

Menurutnya, beliau kesal dengan sikap ahli politik seperti Mohamad atau lebih popular dengan panggilan Mat Sabu yang enggan mengakui kesilapannya apa lagi memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan fitnah.

"Kita telah hantar tuntutan untuk Mat Sabu meminta maaf tetapi kita baca kenyataan di akhbar bahawa beliau tidak akan minta maaf. 

"Kita manusia bukan sempurna, sepatutnya kalau tersilap kita minta maaf. Tetapi minta maaf tiada dalam kamus beliau (Mat Sabu)," kata Wan Ahmad.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah peguam Abu Bakar Isa Ramat dan Norhazira Abu Haiyan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad sekali lagi menegaskan yang beliau tidak pernah berkhidmat di Sabah sepanjang kariernya sebagai pegawai SPR dan dakwaan Mat Sabu itu adalah fitnah dan tidak bertanggungjawab. - UTUSAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...