Isnin, 29 April 2013

Anggota PGA Tidak Boleh Lupa Pengalaman Tidur Atas Kubur Pengganas


PAPAR: Bagi Koperal Mohamad Riduan Kasim, pengalaman tidur di atas kubur militan Sulu adalah antara yang tidak mungkin dilupakannya ketika menyertai Operasi Daulat di Lahad Datu.

Anggota Batalion 16, Pasukan Gerakan Am yang berpangkalan di Kem Kinarut di sini itu, berkata suasana gelap menyebabkan mereka tidak dapat melihat dengan jelas keadaan sekitar dan hanya mengetahui kewujudan kubur pada pagi esoknya.

"Saya ada terhidu bau busuk, bagaimanapun kami semua ingat ada binatang yang mati selain kami terlalu penat sehingga tidak mempedulikan bau itu," katanya kepada Bernama selepas majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di dewan masyarakat di sini, Isnin.

Mohamad Riduan, 32, merupakan antara 13 anggota pasukan keselamatan yang menerima anugerah itu daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong.

Katanya beliau juga amat terkejut apabila mendengar berita kematian ASP Zulkifli Mamat kerana pada malam sebelumnya sempat bertugas bersama Allahyarham.

Koperal Sambrin Baha, 37, pula berkata Operasi Daulat merupakan medan tempur sebenar pertama beliau.

"Mungkin kerana kali pertama saya turun ke medan peperangan sebenar menyebabkan saya mengambil masa beberapa hari untuk melupakan bunyi tembakan dan letupan," katanya.

Sambrin berkata pingat itu membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk berkhidmat kepada negara.

Katanya sepanjang beliau menyertai Operasi Daulat, isterinya Koperal Nur Dini Abdullah, 34, yang bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sabah di Kota Kinabalu, menjaga lima anak mereka yang berusia antara dua dan tjuh tahun.

Sementara itu, Lee dalam ucapannya berkata anugerah itu adalah sebagai penghargaan kepada anggota keselamatan negara yang sanggup mengorbankan nyawa demi keamanan negara.

Secara keseluruhan sebanyak 85 anggota keselamatan Sabah dianugerahkan pingat itu dengan 13 anggota di Papar, Sandakan (15), Tawau (13), Lahad Datu (10), Kota Kinabalu (9) dan sembilan anggota di Semporna.-BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...