LAHAD DATU: Sebuah kem tentera yang akan menempatkan satu batalion
dengan kekuatan 800 pegawai dan anggota akan dibina di Felda Sahabat dekat sini
sebagai penempatan kekal bagi memperketat dan memperkemaskan kawalan
keselamatan di daerah ini.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kem itu adalah sebagai jaminan
keselamatan kepada penduduk setempat susulan insiden pencerobohan pengganas
dari selatan Filipina Februari lepas.
"Felda Global Ventures Berhad
(FGVH) telah bersetuju untuk memperuntukkan kawasan seluas kira-kira 162 hektar
bagi pembinaan kem tersebut.
"Pembinaan itu juga sebagai
memenuhi permintaan penduduk yang mahu pasukan keselamatan kekal menjalankan
kawalan di kawasan kediaman mereka berikutan kebimbangan sekiranya insiden
seperti itu berulang kembali," katanya kepada pemberita selepas
menyerahkan bantuan pakaian kepada penduduk di Kampung Tanjung Labian menerusi
Program Jiwa Murni ATM dekat sini Jumaat.
Pada program tersebut, 120 kotak
pakaian disumbangkan kepada penduduk di Kampung Sungai Bilis, Tanjung Batu dan
Tanjung Tanahgian.
Hadir sama Panglima Angkatan
Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Badaruddin dan Panglima
1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar.
Zulkifeli berkata pembinaan kem
tersebut dijangka mengambil masa antara 24 hingga 32 bulan dan akan diletakkan
di bawah seliaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Beliau berkata kawalan keselamatan
di Pantai Timur Sabah masih tertumpu pada operasi pemantauan di kawasan
perairan berhampiran sempadan selatan Filipina.