Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin
merujuk kepada penyebaran maklumat melalui laman sosial kononnya ada
seorang pengundi bernama Ab Rapar bin Awang yang memiliki tiga nombor
kad pengenalan (MyKad) yang berbeza. Menurut laman sosial itu, oleh
kerana individu ini mempunyai tiga nombor kad pengenalan yang berbeza,
maka individu ini akan dapat mengundi di tiga tempat yang berbeza. Laman
sosial itu juga telah memaparkan paparan semakan Maklumat Pengundian
individu itu yang menunjukkan bahawa individu itu adalah seorang
pengundi berdaftar dan akan mengundi di tiga Pusat Mengundi yang
berbeza, iaitu di Sek. Keb. Balok, Sek. Keb. Bukit Setongkol dan Sek.
Keb. LKTP Bukit Kuantan. Kesemua Pusat Mengundi itu adalah di Pahang.
2. Untuk makluman semua, pengenalan diri
kepada pengundi atau identifier yang digunakan untuk merekod senarai
pengundi di dalam Daftar Pemilih ialah nombor kad pengenalan dan
bukannya nama. Ini kerana SPR menyedari bahawa, jika menggnakan nama
sebagai identifier pengundi dalam Daftar Pemilih akan menyebabkan
kekeliruan kerana memang ada nama-nama pengundi yang ejaannya sama
tetapi mempunyai nombor kad pengenalan yang berbeza. Sebagai contoh,
bagi ejaan nama Ismail bin Ibrahim terdapat 1,507 nama dalam Daftar
Pemilih, Fatimah binti Abdullah (1,401 nama), Fatimah binti Ismail
(1,377 nama), Fatimah binti Ahmad (1,377 nama) Ismail bin Ahmad (1,368
nama), Azizah binti Ahmad (1,039 nama).
3. Berdasarkan nama-nama ini, semakan
SPR mendapati nombor kad pengenalan 12 angka mereka adalah berbeza dan
gambar pada kad pengenalan mereka juga berbeza yang menunjukkan bahawa
mereka adalah individu yang berbeza, hanya ejaan nama sahaja yang sama.
Oleh itu, jika ada ada pihak-pihak yang mendakwa nama yang sama ini
adalah merujuk kepada individu yang sama, maka dakwaan itu TIDAK BENAR.
Ini kerana adalah mustahil bagi seorang individu bernama Ismail bin
Ibrahim ini memiliki 1,507 kad pengenalan kerana nombor kad pengenalan
atas nama itu adalah berbeza-beza. Begitu juga jika ada yang mendakwa
bahawa individu ini boleh mengundi lebih daripada sekali juga adalah
TIDAK BENAR.
4. Bagi kes Ab Rapar bin Awang, semakan
SPR mendapati hanya ada tiga nama yang ejaan nama yang sama dalam Daftar
Pemilih SPR. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga nama itu mempunyai nombor
kad pengenalan yang berbeza, gambar dan cap jari mereka juga berbeza.
Begitu juga dalam kes Jarmiah binti Abu Talib, pengundi adik beradik
yang mempunyai nama yang sama yang pernah dilaporkan oleh media sebelum
ini. Dua adik beradik yang tinggal di satu alamat itu mempunyai dua
tarikh lahir yang berbeza, nombor kad pengenalan lama yang berbeza, cap
jari yang berbeza dan nombor kad pengenalan 12 angka yang berbeza. Oleh
itu, SPR menyeru kepada mana-mana pihak yang menjumpai perkara-perkara
yang mencurigakan dalam Daftar Pemilih supaya menghubungi SPR di Call
Centre 03-8885 6565 supaya SPR dapat membuat semakan dan memberikan
penjelasan.
5. SPR juga ingin memaklumkan bahawa
pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, Dakwat kekal akan digunakan dan setiap
pengundi wajib dicalit pada jari telunjuk sebelah kirinya dengan
dakwat itu. Jika ada pengundi yang enggan jarinya dicalit, maka kertas
undi tidak akan diberikan. Tujuan penggunaan Dakwat Kekal ini adalah
untuk mencegah cubaan mana-mana individu yang hendak mengundi lebih
daripada sekali. Dakwat Kekal yang digunakan bagi Pengundian Awal
adalah berbeza warnanya dengan Pengundian Biasa. Oleh itu, SPR
menegaskan bahawa untuk PRU Ke-13, tidak akan ada mana-mana individu
yang boleh mengundi lebih daripada sekali kerana Dakwat Kekal akan
digunakan. Bagi pengundi-pengundi yang telah mengundi, nama mereka akan
dipotong dalam buku Daftar Pemilih yang digunakan oleh Kerani SPR semasa
proses pengundian.