Hartawan penerbangan Sir Richard Branson mendarat di Kuala Lumpur
tengah hari ini dengan memakai mekap, berkasut tumit tinggi dan sarung
kaki untuk menunaikan janji setelah kalah pertaruhan kepada Ketua
Eksekutif AirAsia Tony Fernandes pada Grand Prix dua tahun lepas.
Beliau berlepas dari Perth pagi Ahad dengan penerbangan amal untuk mengumpul dana ke Kuala Lumpur, dengan berpakaian wanita.
The Australian Associated Press melaporkan di sebuah bar di Perth CBD
pada Sabtu malam, Branson membenarkan pramugari AirAsia mencukur bulu
kakinya.
Terdapat alasan kukuh kenapa beliau mengambil masa yang lama untuk
menunaikan janjinya itu apabila kakinya patah, terbabit dalam kemalangan
semasa menaiki belon udara panas untuk menyaksikan prototaip Virgin
Galactic, yang akan melakukan penerbangan komersil ke angkasa
"Ya, memang betul. Kami sama-sama memiliki pasukan Grand Prix dan
saya amat yakin yang saya akan menang," kata Branson sepertimana dipetik
oleh AAP.
"Berlaku kesilapan. Sudah tentu pemandu pada perlumbaan itu tidak
lagi bersama-sama kami. Saya berusaha untuk mengelak berada di sini
(dalam penerbangan amal ini), tetapi tahu perlu tunaikannya."
Sementara itu, Fernandes yang dicabar untuk menunaikan janjinya,
mengumumkan akan menjadi seorang daripada pelancong angkasa dalam
penerbangan komersil pertama Virgin Galactic, merupakan penerbangan yang
amat mahal.
"Apa yang beliau (Branson) tidak sedar ialah sebaik sahaja saya pergi
ke angkasa, akan ada versi tambang murah - AirAsia Galactica, kira-kira
10 peratus daripada harga yang beliau kenakan," katanya.
Dana daripada penerbangan amal itu akan disalurkan kepada Starlight Foundation untuk kanak-kanak sakit. - BERNAMA