Ahad, 30 Jun 2013

Bojan puji aksi mantap TRW


JURULATIH Kelantan, Bojan Hodak nyata berpuas hati dengan persembahan mantap yang dipamerkan anak buahnya selepas berjaya menewaskan pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (JDT) 1-0 pada perlawanan final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Menurut Bojan, pemainnya telah menunjukkan usaha dan prestasi luar jangkaan demi meraih kemenangan ini.


"Semua pemain beraksi dengan cukup baik dan banyak mencipta peluang.


"Meskipun JDT mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol namun barisan pertahanan berjaya mengekangnya dengan baik.


"Pemain Obinna Nwaneri bertindak cemerlang malam ini dengan menafikan barisan serangan JDT sebarang peluang, saya sangat gembira dan pujian harus diberikan pemain," kata Bojan kepada pemberita selepas perlawanan, malam tadi.


Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA buat kali kedua berturut-turut selepas menundukkan JDT 1-0.


Pemain tengahnya, Mohd Norfarhan menjadi wira pasukan Kelantan apabila meleburkan impian pasukan JDT setelah menjaringkan gol tunggal pada minit ke-16 hasil hantaran Mohd Badhri Radzi.


Mengulas mengenai kejayaan itu, Bojan berkata, kemenangan pertama musim ini akan menyuntik lagi semangat anak buahnya bagi mengharungi saingan seterusnya.


"Seperti saya katakan, kejayaan malam ini (malam tadi) sangat penting. Bukan sahaja ia piala pertama buat Kelantan tetapi juga untuk memberi semangat dan keyakinan kepada pemain untuk beraksi dalam saingan perlawanan musim ini.


"Saya ucapkan tahniah kepada pemain kerana menunjukkan satu sikap juang yang tinggi serta keyakinan yang baik.


"Akhirnya kita berjaya membawa pulang satu piala dan saya berharap konsentasi ini dapat dikekalkan pada perlawanan selepas ini,"ujar Hodak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...