Jumaat, 10 Februari 2017

Pulau Batu Puteh: ICJ keluarkan teks permohonan Malaysia bagi semakan kehakiman



Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang berpejabat di The Hague telah mengeluarkan teks penuh permohonan Malaysia bagi semakan kehakiman terhadap penghakiman pada 2008 mengenai Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.

Fakta baharu yang mendorong Malaysia untuk memohon bagi semakan itu terkandung dalam tiga dokumen yang ditemukan di National Archives of the United Kingdom.

Dokumen itu ialah surat menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

Dokumen itu ditemukan di National Archives antara 4 Ogos, 2016, dan 30 Jan, 2017.

Dalam permohonan 18 muka surat itu, Malaysia berkata dua daripada dokumen itu hanya didedahkan kepada umum pada tahun berkenaan sejak ICJ memberikan penghakiman pada 2008 manakala tarikh pengeluaran dokumen ketiga itu tidak diketahui.

Dalam permohonan itu, Malaysia berkata dokumen yang baharu ditemukan itu menunjukkan persepsi Singapura bahawa Pulau Batu Puteh terletak dalam wilayah Singapura ditentukan menerusi tempoh kritikal bagi separuh pertama 1960-an yang ketika itu Singapura melalui beberapa perubahan perlembagaan, dan berterusan sehingga Februari 1966, yang pada masa itu Singapura tidak lagi menjadi sebahagian Malaysia dan telah menjadi negara merdeka berdaulat.

Dokumen pertama yang baru ditemukan itu ialah telegram rahsia dihantar pada 1958 daripada Gabenor Singapura kepada setiausaha negara British bagi negara dijajah sebagai respons kepada permintaan bagi ulasan berhubung cadangan untuk memperluas kawasan perairan Singapura daripada tiga batu kepada enam batu.

Gabenor Singapura itu menyatakan adalah penting kepada Singapura untuk had tiga batu sedia ada dikekalkan kerana akses ke kawasan Singapura akan terhalang sekiranya hak bagi had enam batu itu diterima oleh undang-undang antarabangsa secara amnya.

Atas sebab itu, beliau mencadangkan bahawa, sekiranya enam batu itu diterima sebagai had secara amnya, "ketetapan khas perlu dibuat untuk koridor laut tinggi antarabangsa yakni selebar satu batu di selat di antara wilayah Singapura dan Malaya di utara dan wilayah Indonesia di selatan". 

Beliau menyatakan laluan bagi koridor perairan antarabangsa itu hanya melalui satu batu dari Pulau Batu Puteh, tempat terletaknya Rumah Api Horsburgh.

Sekiranya beliau faham, atau sebaliknya telah dinasihati, bahawa Pulau Batu Puteh terletak dalam kedaulatan Singapura, dengan itu tidak perlulah untuk beliau menyokong ketetapan bagi satu laluan antarabangsa yang begitu dekat dengan pulau itu, kerana Singapura boleh menuntut hak ke atas kawasan perairan sekitar Pulau Batu Puteh.

Dokumen kedua ditemukan dalam fail arkib British bagi 1958.

Ia berkaitan dengan insiden membabitkan sebuah kapal Malaysia, Labuan Haji, yang diekori sebuah bot pembedil Indonesia berdekatan perairan "dekat Rumah Api Horsburgh" kerana ia "masih dalam kawasan perairan Johor".

Dokumen ketiga ditemukan dalam satu fail disediakan oleh Komander British bagi Armada Timur Jauh di bawah tajuk 'Naval Operations in the Malacca and Singapore Straits 1964-1966'.

Fail itu mengandungi penerbitan rahsia diedarkan oleh Komander bertajuk 'Orders for Ships Patrolling in Defence of Western Malaysian Seaboard'.

Himpunan arahan rahsia itu termasuk arahan bagi 'Restricted and Prohibited Areas - Singapore Territorial Waters', yang menyatakan kawasan-kawasan bagi pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam akan dikuatkuasakan, dan penetapan tiga kawasan dibenarkan bagi kegiatan penangkapan ikan pada waktu malam.

Bertarikh 25 Mac, 1962, satu peta menunjukkan had kawasan perairan Singapura pada satu titik di selatan Pulau Tekon Besar di Selat Johor; "ia tidak diperluas ke kawasan Pedra Branca".

Dalam permohonan itu, Malaysia menekankan bahawa ia tidak menjadikan permohonan bagi semakan itu mudah.

"Prosiding semakan adalah luar biasa. Kerajaan Malaysia memutuskan untuk mengemukakan permohonan ini hanya selepas membuat pertimbangan teliti.

"Permohonan ini bukan rayuan terhadap penghakiman pada 2008. Sebaliknya, ia membawa kepada perhatian mahkamah terhadap apa yang hanya diketahui oleh Malaysia baru-baru ini." - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...