Isnin, 13 Februari 2017

Tidak Ada Dana Yang Hilang, Kenyataan Saya Dipesongkan – Pengerusi FELDA


Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini menegaskan bahawa kenyataannya berkaitan dana berjumlah RM6 bilion yang diterima FELDA selepas disenaraikan di bursa saham telah dipesongkan oleh beberapa portal berita dan turut menegaskan dakwaan tentang kehilangan dana berjumlah RM4.3 bilion di dalam FELDA tidak pernah berlaku.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menjelaskan, beliau mempunyai senarai yang jelas mengenai perbelanjaan baki wang sebanyak RM4.3 bilion tersebut, antaranya digunakan bagi tujuan pelaburan jangka panjang oleh FELDA di dalam dan luar negara.

“Tidak ada dana yang hilang. Daripada RM6 bilion, FELDA telah belanjakan RM1.7 bilion kepada peneroka dengan setiap keluarga menerima bayaran sebanyak RM15,000.”

“Baki sebanyak RM4.3 bilion pula antaranya dibelanjakan bagi pembayaran ‘one off‘ kepada kerajaan negeri Sabah sebanyak RM300 juta dan Pahang sebanyak RM250 juta.”

“FELDA juga belanjakan untuk pinjaman perumahan peneroka sebanyak RM400 juta, perbelanjaan pengurusan sebanyak RM883 juta, selain pelaburan hartanah dalam dan luar negara, pembelian saham dan banyak lagi,” jelas Shahrir kepada media.

Shahrir berkata nilai pelaburan RM1.438 bilion itu kebanyakannya melibatkan sektor perkhidmatan perhotelan sebagai pelaburan jangka masa panjang yang memerlukan masa yang lama sebelum memberikan pulangan.

Mengulas lanjut kepada media berkaitan dana RM1.438 bilion itu, sebanyak RM304 juta telah digunakan bagi pembelian pelaburan hartanah yang merangkumi pembelian hartanah di Bukit Katil, 

Melaka, RM86 juta untuk membeli Grand Borneo Hotel di Sabah, RM548 juta untuk pembelian Apartmen Perkhidmatan Grand Plaza di London dan RM225 juta bagi pembelian bangunan Institut Penilaian Negara (INSPEN).

Selain itu RM110 juta digunakan untuk pembelian saham Iris Corporation Berhad.

Menurut beliau lagi, FELDA juga telah membeli semula FELDA Technoplant Sdn Bhd dengan nilai RM38 juta dan sehingga kini jumlah kerugian yang ditanggung FELDA adalah sebanyak RM108 juta melibatkan projek Transnovasi.

“Tugas saya (Pengerusi FELDA) adalah untuk memastikan kesemua pelaburan yang telah dilakukan FELDA berjalan mengikut perancangan, bagaimana pelaburan itu dilakukan dan memastikan pelaburan tersebut memberikan pulangan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kepada media bahawa FELDA telah memutuskan untuk menjual sebuah hotel milik FELDA di London yang dibeli pada 2012.

Menurut beliau, proses penjualan sedang dilaksanakan dan dijangka dapat dimuktamadkan dalam waktu terdekat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...