Jumaat, 14 April 2017

Nasha: Saya difitnah, tuduhan berniat jahat




Datuk Nasharudin Mat Isa hari ini menafikan menerima bayaran yang berpunca daripada 1MDB seperti didakwa Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dalam akuan berkanun (SD) semalam.
Bekas timbalan presiden PAS itu berkata segala dakwaan Rafizi tiada kaitan dengannya serta "fitnah dan berniat jahat" kepada beliau dan parti itu.
“Saya dengan ini juga menafikan dengan sekeras-kerasnya pernah menerima apa jua bentuk bayaran dan/atau sumbangan daripada sumber-sumber seperti yang dinyatakan oleh beliau melalui tuduhan yang tidak berasas dalam SD tersebut,” katanya.
Setelah seminggu berteka-teki, Rafizi semalam mengotakan janjinya dengan mendedahkan nama Nasharudin yang didakwa menerima dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Membuat pendedahan itu dalam bentuk SD, beliau mendakwa Nasharuddin menerima wang itu daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak yang disalurkan melalui “peguam tertentu”.
PAS menafikan perkara itu semalam manakala Najib pula telah berulang kali menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.
Dalam kenyataan ringkas tiga perenggan hari ini, Nasharudin menegaskan beliau sedia bekerjasama dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes itu.
Beliau juga menyerahkan kepada pasukan peguamnya untuk langkah seterusnya, termasuklah memulakan tindakan undang-undang dan tindakan lain yang wajar dan sesuai.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...