Khamis, 4 Mei 2017

Menjawab Salah Faham Orang Bukan Melayu Di Malaysia Mengenai Tamadun Dan Sejarah Orang Melayu


Salah Faham 1: Kesultanan Melayu Melaka ialah kerajaan Melayu pertama dalam sejarah ketamadunan bangsa Melayu.
Penjelasan 1: Ini adalah salah sama sekali. Kesultanan Melayu Melaka bukanlah kerajaan pertama Melayu dalam sejarah atau bukti permulaan Tamadun Melayu. Sebelum Melaka, sudah banyak kerajaan-kerajaan hebat yang berkuasa. Sebagai contoh, Empayar Melayu Srivijaya, Langkasuka, Funan, Champa, Ligor, Gangga Negara, Chih Tu, Pan Pan, dan sebagainya. Tamadun tertua bangsa Melayu berusia 500 Sebelum Masihi, itu yang dapat dibuktikan dengan pembuktian kukuh, bukan sekadar hipotesis dan teori.
Salah Faham 2: Tetapi nama-nama kerajaan dahulu sebelum Melaka itu berunsurkan India. Ini membuktikan bahawa orang Indialah yang membina kerajaan-kerajaan itu.
Penjelasan 2: Nama tidak menunjukkan bangsa. Nama penulis artikel ini ialah Helmi Effendy, namun itu tidak menunjukkan bahawa Helmi ialah seorang Arab. Saya tetap seorang Melayu dan ambilah pisau, torehlah tangan ini, darah yang menitik masih lagi darah seorang Melayu.
Berbalik kepada salah faham 2, nama-nama yang berunsurkan keindiaan itu adalah kerana orang Melayu dahulu adalah pengganut agama Hindu-Buddha. Orang Melayu memang satu bangsa yang mempunyai spritual yang tinggi. Mereka akan berbuat pelbagai cara untuk mendekatkan diri mereka dengan agama yang dianuti. Sebagai contoh, selepas kedatangan Islam, nama-nama orang Melayu, kebudayaannya semuanya diberi dengan nafas Islam sambil diadun dengan lokal genius tempatan.
Sematkan analogi di atas, sama juga dengan orang Melayu ketika zaman Hindu-Buddha dahulu. Nama yang berunsurkan Sanskrit diambil dan banyak disematkan pada kerajaan-kerajaan Melayu purba. Namun demikian, bukti-bukti lain membuatkan sejarawan memutuskan kerajaan itu sebagai kerajaan Melayu kerana batu bersurat, hikayat-hikayat, dan catatan orang asing tentang kerajaan ini.
Wilayah Pengaruh Srivijya
Sebagai contoh, Srivijaya ialah sebuah Empayar Melayu. Namanya berunsurkan sanskrit. Tapi mereka memahat prasasti mereka menggunakan tulisan pallava dari India, namun bahasa yang dipakai ialah Bahasa Melayu Kuno, bukannya Tamil atau seumpama dengannya. Prasasti Kedukan Bukit ialah buktinya. Saya yakin tiada seorang pun orang Tamil mampu membaca bahasa Melayu Kuno yang dipahatkan pada prasasti itu!
Salah Faham 3: Tapi.. tapi.. Rajendra Chola pernah menawan seluruh semenanjung dan memberikan tamadun kepada bangsa Melayu. Buktinya ialah Tamadun Sungai Batu dan Lembah Bujang itu!
Penjelasan 3: Tapak purba di Sungai Batu, Lembah Bujang berusia 600 TAHUN SEBELUM MASIHI. Semasa beliau datang ke sini, peradaban di Lembah Bujang telah lama wujud. Bagaimana mahu dikatakan Lembah Bujang itu dibina oleh Rajendra Chola sedangkan bapa kepada moyang Rajendra Chola I, iaitu Vijayalaya Chola yang memerintah sekitar 848 -891 Masehi pun belum dilahirkan lagi?
Dan kerajaan yang diserang oleh Rajendra Chola ketika itu ialah sebuah Empayar Melayu Srivijaya, di mana sudah ada kuasa pemerintah Melayu yang memerintah Lembah Bujang atau Kedah Tua ketika itu.
Para sejarawan berpendapat dan sebulat suara mengatakan bahawa kerajaan Chola hanya menjarah Kedah bukannya menjajah. Mereka sekadar mahu mengacau perdagangan pelabuhan-pelabuhan Srivijaya,iaitu sebuah lagi empayar Melayu yang hebat. Srivijaya pada masa itu berjaya menguasai jalan perdagangan antarabangsa di Kepulauan Melayu, antara India dan China pada masa itu.
Inilah tujuan utama Chola menyerang Srivijaya dan Kedah Tua, bagi mencabar hegemoni perdagangan Srivijaya itu sendiri. 1012–1044 Masihi ialah pemerintahan Rajendra Chola, kira-kira 1500 selepas berdirinya peradaban di Lembah Bujang dan Sungai Batu sendiri wujud.
Nama-nama seperti Kadaram yang wujud pada Kedah tidak boleh dijadikan hujah bahawa Kedah dibuka oleh orang Tamil. Jangan perasan seorang diri. Bangsa lain juga mempunyai nama mereka untuk Kedah Tua.
Pedagang Arab : Qilah,Kalah,Kalahbar,Qalha,Qilai
Pedagang Cina : Cheh-Cha,Chieh-cheh,Kie Taa
Orang Khmer : Keto
Orang Siam : Sai,Saiburi
Salah Faham 4: Bangsa Melayu tidak pernah wujud. Ianya adalah bangsa ciptaan British! Nama Melayu itu pun diberikan oleh British.
Penjelasan 4: Sebenarnya bangsa Melayu sudah wujud sejak sekian lamanya. Sebelum kedatangan British lagi, bangsa ini dan nama Melayu itu sudah lama wujud. Dalam catatan-catatan Dinasti China seperti Yuan dan Ming, nama orang Melayu banyak kelihatan. Orang China biasanya akan merujuk kepada bangsa Melayu.
Antara rekod terawal yang mencatatkan mengenai nama MELAYU dalam sejarah itu sendiri adalah di dalam peta Ptolemy seawal abad pertama Masihi yang mencatatkan kawasan di Semenanjung Emas yang turut dikenali sebagai Maleu-kolon. Antara sebutan dalam pelat Cina ialah Bok-la-yu, Mok-la-yu, Ma-li-yu-er, dan Oo-lai-yu. Dalam sejarah juga terdapat rekod bahawa sebuah kerajaan yang menggunakan nama Malayu wujud di Nusantara seawal abad ke-7 Masihi.
Pada abad ke 14, umpamanya, Mpu Prapanca penyair Jawa di kraton Majapahit, dalam karyanya Desawarnama (1365) telah menyenaraikan daerah yang dikenalpasti sebagai tanah orang Melayu. In termasuklah Jambi, Palembang, Minangkabau, Siak, Kampar, Rokan, Pane, Kampe, Aru, Mandaileng, Tumiang, Perlak, Samudra, Lamuri, Barus di Sumatera dan Langkasuka, Kedah, Kelantan serta Pahang di Semenanjung Tanah Melayu.
Dalam sejarah, Nama Tanah Melayu sudah digunakan sebelum kedatangan British lagi. Antara bukti sejarah mengenainya adalah Tom Pires yang tinggal di Malaka pada tahun 1512 hingga tahun 1515 telah merujuk Melaka sebagai Terra de Tana Malaio.
Direkodkan dalam sejarah apabila Singhasari, sebuah kerajaan di Jawa yang mahu menghapuskan sisa-sisa Empyar Srivijaya di Sumatera. Maka ekpedisi tentera dikerahkan ke Sumatera dan ekpedisi itu dipanggil sebagai Ekpedisi Pamalayu.
Salah Faham 5: Bangsa Melayu ialah pendatang dari Yunnan dan Taiwan, dan Indonesia.
Wilayah Yunnan yang kononnya didabikkan tempat asal-usul orang Melayu
Penjelasan 5: Sebenarnya asal usul Melayu itu daripada Yunnan dan Taiwan adalah teori yang sudah lapuk untuk diperkatakan kerana dunia akademik sedang memperkatakan teori baru dalam membincangkan asal-usul Melayu itu yang dipanggil sebagai Teori Keluar Dari Benua Sunda. Antara ahli akademik yang memperkatakan tentang teori ini adalah Dr. Stephen Oppenheimer, ahli sains dari Universiti Oxford, terutama melalui bukunya Eden in the East: the Drowned Continent of Southeast Asia (1998). Anda boleh baca teori yang dibangkitkan oleh beliau sehingga diterima oleh dunia akademik dalam buku beliau. Teori ini adalah disandarkan pada bukti-bukti ethnologi, arkeologi, kajian samudra, linguistik, analisis DNA dan folklor.
Salah Faham 6: Bahasa Melayu ialah sebuah bahasa ciptaan dan dipengaruhi oleh bahasa luar. Contoh, 60 peratus daripadanya terdiri daripada bahasa Tamil dan Sanskrit. Bahasa Melayu hanya ada tiga perkataan asal sahaja.
Penjelasan 6: Ini ialah satu salah fahaman yang sangat besar. Bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa yang terdiri daripada salah satu cabang keluarga bahasa-bahasa Melayu-Polinesia. Maka, tolong berhenti mendakwa “90% of the Malay language is derived from Sanskrit or Tamil” (Sanskrit ialah bahasa rumpun Indo-Aryan, bukan Austronesia, manakala Tamil ialah bahasa dalam rumpun Dravidian) atau “bahasa Melayu asalnya hanya ada 3-4 perkataan”.
Jika anda mengeluarkan ayat-ayat demikian di mana-mana seminar antarabangsa bidang linguistik, anda akan dibantah oleh James T. Collins, K. Alexander Adelaar, Robert Blust dan ramai lagi pengkaji dari Barat yang menyelidik bahasa-bahasa di Alam Melayu. Tolonglah berasa malu kepada orang pengkaji-pengkaji luar ini. Peminjaman bahasa memang berlaku dalam tamadun Melayu kerana proses pertembungan Tamadun Melayu.
Orang Melayu ialah bangsa yang membuka sebuah tamadun di antara laluan utama dunia yang menghubungkan barat dan timur. Pelabuhannya dikunjungi oleh pelbagai bangsa. Dicatatkan bahawa Tamadun Melayu Melaka menerima 2000 buah kapal setiap hari dari seluruh dunai dan juga dituturkan 88 buah bahasa di perlabuhannya. Maka, peminjaman bahasa memang berlaku. Biasanya bangsa yang membina empayar besar atau selalu bertembung dengan tamadun luar, perkara ini adalah lazim. Bahasa Inggeris juga mempunyaI lebih 100 perkataan pinjaman daripada bahasa Melayu.
Mari saya kongsikan kepada anda antara perkataan-perkataan asli dalam bahasa Melayu. ~~air, akar, aku, alu (pasangan kepada lesung), alur, anak, api, balai, **barat, bara, baru, bau, bayang, benua, beras, beri, besi, betina, bibir, bintang, buah, bukit, bulan, bulu, bunuh, cucuk, dahi, danau,
dapur, darah, darat, daun, dekat, dendam, dengar, duri, ekor, gatal, habuk, hampar, hanyut, hantar, hantu, hari, hati, hidung, hirup, hujan, hulu, huma, ikan, induk, ini, itu, jahit, jarum, kail, kanan,
kayu, kerbau, ketawa, kiri, kita, kuku, kulit, kutu, labah-labah, labuh, langit, laut, layar, leher, lelap, lesung, lintah, liput, luar, ludah, makan, malam, mati, mentah, mimpi, minum, nanah, nasi, nyiur,
orang, padi, pahit, paku, palu, panah, peha, penuh, puluh, putih, ratus, rumah, tahi, tampi, tanah, tanak, tanam, tangis, telinga, telur, timur, tiup, tua, tuli, ubi, udang, urat, yu (ikan).~~
Salah Faham 7: Melayu tidak mempunyai sistem tulisan mereka yang tersendiri.
Manuskrip Rencong daripada Selatan Sumatera
Penjelasan 7: Kenyataan ini datang daripada mereka yang tidak memahami langsung apa itu sejarah. Membaca daripada facebook tidak membuktikan bahawa anda setaraf Prof Khoo Kay Kim atau Prof Nik Suhaimi. Tidak… jauh sekali. Orang Melayu mempunyai sistem tulisan mereka sendiri. Tulisan Jawi contohnya yang datang daripada tulisan Arab tetapi diubahsuai oleh orang Melayu untuk kegunaan bahasa Melayu dengan penambahan beberapa huruf baru. Manakala skrip yang lebih awal dipakai oleh orang Melayu ialah Tulisan Tanjung Tanah, Rejang, Rencong.
Salah Faham 8: Orang Asli Ialah Pemilik Dan Orang Asal Tanah Ini.
Penjelasan 8: Definisi orang asli itu perlu dibetulkan oleh anda. Orang Asli di Malaysia ada dua kategori. Kategori pertama ialah Aslian manakala kategori kedua dipanggil sebagai Melayu Proto. Orang Melayu dalam sejarah pula terbahagi kepada dua iaitu Melayu Proto dan Deutro. Adapun mereka berdua ialah adik-beradik yang serumpun dari segi linguistik dan juga sejarah. Mengatakan salah seorang sebagai pendatang juga, meletakkan bahawa yang lain juga sebagai pendatang!
[Kesimpulan]
Dengan beberapa salah faham yang saya petik seringkali bermain dalam minda rakan-rakan bukan Melayu kita, maka saya harap segala kekusutan yang seringkali bermain dalam fikiran kita dapat dibetulkan. Dalam masa yang sama, saya bukakan post ini dengan soalan-soalan mengenai Tamadun Melayu yang sering bermain dengan minda kalian untuk kita betulkan bersama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...