Khamis, 11 Mei 2017

Pemandu bunyikan hon depan surau mohon maaf



JOHOR BAHRU: Pemandu kereta yang membunyikan hon di hadapan Surau Austin Perdana di sini, sehingga kejadian itu viral di laman sosial Jumaat lalu, hari ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka. Toh Chai Eun, 28, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Islam terutama mereka yang terbabit dalam kes berkenaan.

Chai Eun yang ditemani abangnya Toh Chai Chung, 30, hadir dalam satu perjumpaan di Pejabat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang disertai ahli jawatankuasa surau terbabit, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut.


Permohonan maaf terbuka itu dibacakan wakil Chai Eun, Mahadzir Abu Said, yang menyatakan harapan agar kes berkenaan dapat diselesaikan dan tidak menyinggung semua pihak dan Bangsa Johor.


"Apa yang berlaku pada waktu itu kerana saya terperangkap dalam kesesakan jalan di situ dan dalam urusan penting. Ini menyebabkan kereta saya diserang dan dirosakkan dan saya juga mengalami kecederaan," katanya yang mengalami kecederaan di leher, kaki dan badan. 


Katanya, beliau juga berharap semua pihak tidak lagi memanjangkan isu itu menjadi lebih besar. "Saya tidak berniat jahat atau ingin menyinggung perasaan dengan membunyikan hon kereta pada masa itu.


"Diharap selepas kenyataan ini, tiada lagi ulasan dan cerita mengenai kejadian ini di media untuk tujuan menghasut rakyat dan menjejaskan perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian negara," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Surau Austin Perdana, Mohd Khaiidzir Ismail, berharap kes berkenaan dapat diselesaikan dengan keseluruhannya.


"Kami mengucapkan terima kasih atas pertemuan ini yang sememangnya tidak dijangka, meskipun perkara ini berlaku di luar surau, kami sebagai jawatankuasa sudah mengambil langkah yang perlu," katanya.


Dalam insiden Jumaat lalu, seorang lelaki dipukul di hadapan Surau Austin Perdana oleh sekumpulan jemaah surau dalam keadaan marah, selain merosakkan sebuah kereta dipercayai berpunca daripada tindakan lelaki itu membunyikan hon ketika Solat Jumaat. 


Kejadian yang dirakamkan dalam video berdurasi 1 minit 10 saat itu menyaksikan sekumpulan jemaah masjid berkenaan merosakkan kenderaan yang dipandu seorang individu di pekarangan surau berkenaan dan turut menjadi viral di laman sosial.


bharian.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...