Sabtu, 24 Jun 2017

11 cedera, pengebom nekad sasar Makkah



RIYADH: Sekurang-kurangnya 11 orang termasuk enam jemaah umrah asing cedera selepas seorang pengebom nekad yang menyasarkan kota suci Makkah meletupkan dirinya, kata Kementerian Dalam Negeri.

Insiden berlaku di sekitar Masjidil Haram, ketika ribuan jemaah berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat terakhir Ramadan tahun ini.

Jurucakap Kementerian, Jeneral Mansour al-Turki, memberitahu televisyen Saudi polis menggagalkan rancangan pengganas yang menyasarkan keamanan Masjidil Haram, jemaah umrah dan mereka yang beribadat.

Dalam serbuan waktu subuh di Makkah dan bandar Laut Merah, pegawai Jeddah menahan lima suspek, termasuk seorang wanita, sebelum mengepung pengebom di sekitar Masjidil Haram.
"Dia mula menembak ke arah anggota keselamatan sebaik menyedari kehadiran mereka di kawasan itu. Tembakan berlaku sebelum dia meletupkan diri," kata Turki.

Letupan itu menyebabkan sebahagiannya bangunan tempat suspek berlindung runtuh, mencederakan enam jemaah, kata Turki.

Sejak akhir 2014, Arab Saudi sering berdepan pengeboman berkala dan tembakan yang didakwa dilakukan kumpulan militan Daesh.

Akhir Ramadan lalu, empat pegawai keselamatan mati dalam insiden letupan dekat Masjid Nabi di Madinah.

Ia salah satu daripada tiga letupan nekad di seluruh kerajaan itu pada hari yang sama, dengan tujuh dipercayai terbunuh. Insiden lain berlaku di Jeddah dan Qatif. - AFP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...