Selasa, 20 Jun 2017

Anina: Jangan sebar gambar permata palsu




Salah seorang pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Anina Saadudin menegur penyebaran gambar batu permata dan barang kemas yang kononnya mahu dirampas oleh Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat (AS).

Katanya, DOJ tidak melampirkan sebarang gambar untuk barang kemas yang mahu dirampasnya dan gambar-gambar yang beredar secara meluas itu sebenarnya diambil daripada sumber tidak sahih.

“Atas landasan perjuangan berani kerana benar, saya ingin menyeru kesemua pihak untuk segera menghentikan penyebaran gambar-gambar yang tidak pasti kesahihannya ini bagi mengekalkan integriti dan prinsip kejujuran yang diperjuangkan oleh kita iaitu 'fakta bukan auta' dan matlamat tidak menghalalkan cara.

“Janganlah kita cemarkan Ramadan dan perjuangan berani kerana benar ini dengan fitnah yang boleh merosakkan ummah dan amalan kita di bulan suci ini,” katanya. - ANINA


DOJ minggu lepas memfailkan saman baru untuk menyita barang-barang berkaitan 1MDB.

Antara aset-aset baru yang disenaraikannya termasuk rantai dan loket berlian bernilai puluhan juta dolar, barang kemas, lukisan pelukis legenda Pablo Picasso, harta intelek filem Hollywood dan kapal layar.

Paling mencuri perhatian apabila seutas rantai mewah itu dikatakan diberikan kepada isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Dalam tulisan di Facebook hari ini, Anina meminta orang ramai membiarkan beban pembuktian dakwaan DOJ dan penyebaran gambar yang sahih dibuat badan itu sendiri.

“Adalah tidak wajar untuk kita mendahului mereka dalam penyebaran kononnya imej visual seperti batu permata, loket, anting-anting atau apa sahaja yang disebut DOJ dalam laporannya itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata “tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas lanjut tentang perkara pokok laporan tersebut”.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...