Jumaat, 15 Disember 2017

BNM Keluarkan Wang Kertas Khas Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu


Bank Negara Malaysia (BNM) bakal mengeluarkan wang kertas edisi terhad khas sempena sambutan ulang tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata wang kertas peringatan bersaiz 370 mm tinggi dan 220 mm lebar itu adalah wang kertas terbesar di dunia dengan reka bentuk berdasarkan ‘Raja Payung Kedaulatan Negara’ dan ciri-ciri keselamatan lebih tinggi.



Wang-wang kertas yang ditawarkan adalah wang kertas sekeping RM600 yang dijual pada harga RM1,700 sekeping; wang kertas bercantum 3 dalam 1 RM60 dengan nilai RM180 (dijual pada harga RM500); serta wang kertas sekeping RM60 (dijual pada harga RM120).
“Reka bentuk wang kertas peringatan ini berdasarkan tema “Raja Payung Kedaulatan Negara”, dan wang kertas pertama dicetak oleh Bank Negara Malaysia menggunakan bahan substrat komposit, iaitu gabungan substrat polimer dan kertas yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih tinggi dan jangka hayat yang lebih panjang. Wang kertas peringatan ini dicetak lebih besar, mengikut nilai muka wang tersebut.
“(Bahagian hadapan) Singgahsana di-Raja dikelilingi potret 15 Yang di-Pertuan Agong yang bertakhta dari tahun 1957 sehingga kini tertera pada bahagian tengah wang kertas, melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan.
“Reka bentuk hadapan diilhamkan daripada lambang bulan sabit dan bintang pecah 14 Persekutuan yang tersemat pada Tengkolok Diraja,” kata BNM dalam kenyataan tersebut, pada Khamis.

Reka bentuk bahagian belakang wang kertas peringatan tersebut pula memaparkan potret sembilan Raja-Raja Melayu yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.
“Kesemua wang kertas peringatan ini dihiasi dengan gambar tokoh-tokoh dan ciri-ciri penting yang berkaitan dengan kemerdekaan.
“Pada bahagian kanan wang kertas ini terdapat bayangan laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan arkitek Kemerdekaan Tanah Melayu dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
“Terdapat empat mercu tanda penting yang dicetak pada latar belakang wang kertas ini: Istana Negara, Perdana Putra, bangunan Parlimen dan Istana Kehakiman yang masing-masing mencerminkan empat tonggak negara: Institusi Pemerintahan Beraja, Badan Eksekutif, Badan Perundangan dan Badan Kehakiman,” jelas BNM.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V semalam, berkenan merasmikan wang kertas peringatan sempena ulang tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, di Muzium dan Galeri Seni, Sasana Kijang, BNM.
Bagaimanapun, ia hanya ditawarkan dalam jumlah yang terhad, di mana wang kertas bagi RM600 dan set wang bercantum masing-masing dicetak sebanyak 6,000 sahaja, sementara wang kertas RM60 sebanyak 60,000 keping.
“Bagi memastikan peluang yang sama rata untuk semua orang membeli wang kertas edisi terhad ini, pembelian akan dihadkan (setiap pembeli boleh membeli sekeping wang kertas RM600, satu set wang kertas bercantum 3 dalam 1 RM60 dan lima keping wang kertas RM60).
“Untuk memudahkan pembelian, orang ramai boleh membuat tempahan dalam talian mulai 5 Januari 2018. Sekiranya jumlah tempahan melebihi jumlah yang ditawarkan, tempahan akan dilaksanakan melalui undian,” kata BNM.
Dalam pada itu BNM menambah, wang kertas peringatan yang bernombor siri istimewa akan dijual melalui lelongan awam pada 10 Mac 2018.
“Maklumat lanjut tentang tempahan, lelongan, pembayaran dan tempoh pengambilan akan diumumkan kepada orang ramai melalui siaran akhbar sebelum tarikh jualan,” katanya.
Orang ramai yang berminat untuk melihat sendiri wang kertas edisi terhad itu boleh berkunjung ke pameran yang bakal diadakan pada 21 Disember ini di Muzium dan Galeri Seni BNM dan di pejabat-pejabat BNM di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...