Khamis, 4 Januari 2018

Forest City. Beberapa fakta.




Fakta 1: Tarikan pemasaran utama Forest City di Johor ialah kedudukannya yang hampir dengan Singapura. Projek tersebut terletak berhampiran dengan jambatan menuju ke Singapura yang mempunyai kemudahan imigresyen yang khas untuk mempercepatkan pergerakan menyeberang sempadan dan hanya 40 minit ke pusat perniagaan di Singapura.

Fakta 2: Ianya merupakan hartanah di Malaysia yang paling hampir dengan Singapura. Forest City tidak akan berjaya untuk menarik minat warga asing jika dibina di lain-lain tempat di Malaysia ini.

Malahan, projek seperti Forest City ini tidak akan berjaya jika di bina di mana-mana tempat di Malaysia.


Fakta 3: Dua kumpulan utama pembeli utama hartanah kediaman di Singapura ialah dari China (kira-kira 30%-40% dari semua transaksi pemilikan) dan juga dari Malaysia (20%-30%).

Pembeli di Forest City mungkin akan membeli unit hartanah di Singapura berbanding dengan di Forest City. Melihat kepada kegiatan penambakan laut di masa lepas, jika Malaysia tidak melakukan penambakan laut dan membina Forest City ini, pihak Singapura mungkin akan melaksanakan projek seperti ini.

Jika Singapura memulakan projek seperti ini sebelum kita, semua keuntungan akan diperolehi oleh Singapura. Malaysia tidak akan mendapat apa-apa pun.

Fakta 4: Ianya adalah tanah tambak. Tidak timbul isu tanah di Johor yang sedia ada. Tiada permukaan tanah seperti itu wujud sebelum ini -  tidak timbul persoalan bahawa tanah yang sedia ada telah “dijual” kepada orang asing. Selepas kerja-kerja penambakan selesai, jumlah keluasannya hanyalah 0.01% daripada keluasan tanah di Johor.

Warga asing tersebut bukannya membeli hartanah bertanah. Mereka hanya membeli kondominium hartanah strata.

Fakta 5: Projek Forest City merupakan projek usahasama 60-40 dengan syarikat dari China dan Kerajaan Negeri Johor serta Sultan Johor. Syarikat dari China tersebut akan menyediakan sejumlah besar pembiayaian yang diperlukan untuk projek tersebut serta juga bertanggungjawab untuk memasarkan unit-unit kediaman tersebut.

Fakta 6: Apabila ditambak sepenuhnya, keseluruhan projek Forest City ini adalah seluas 3,000 ekar -  iaitu 18 kali ganda lebih kecil berbanding dengan 54,000 ekar tanah yang telah digadai oleh Tun Mahathir kepada Singapura untuk selama 71 tahun melalui perjanjian tahun 1990 sebagai balasan kepada bayaran awal berjumlah RM700 juta dan sewaan tanah satu kaki persegi dengan harga 3 sen sahaja.

Itu adalah tanah sedia ada yang Mahathir tandatangani bukannya tanah tambak.

Tiada pula orang menuduhnya menjual negara tetapi kini beliau pula yang menuduh kita menjual negara sedangkan saiz tanahnya cukup kecil, bukan dijual sebenarnya pun dan bukan juga tanah yang sedia ada.

Fakta 7: Tidak seperti penjualan Singapura beberapa kurun yang lampau, tiada hak kedaulatan yang dilepaskan kepada Forest City. Keseluruhan Forest City masih lagi di bawah kuasa kerajaan negeri dan perundangannya termasuk undang-undang pemilikan tanah yang membenarkan Kerajaan Negeri Johor mengambil tanah tersebut apabila diperlukan.

Kepada mereka yang menyerang mengenai Forest City ini tidak faham kesan awal ke atas ekonomi dan kesan dari keuntungannya untuk jangka panjang.

Jika kita tidak membina projek seperti ini, para pembeli akan ke Singapura seperti sebelum ini, dan kita tidak mendapat apa-apa keuntungan tambahan pula berlakunya pengaliran keluar modal ke Singapura – terutamanya dari rakyat Malaysia yang merupakan pembeli kedua terbesar hartanah kediaman di Singapura.

Tiada keuntungan yang boleh dijana oleh para pembekal bahan binaan projek tersebut begitu juga tiada peluang pekerjaan kepada kontraktor tempatan.

Malahan tiada kutipan hasil melalui cukai pintu dan nilaian hartanah yang boleh diperolehi oleh Kerajaan Negeri Johor setiap tahun dari Forest City tersebut  -  jumlahnya boleh mencecah ratusan juta ringgit untuk setiap tahun.

Tiada keuntungan kepada Kerajaan Negeri Johor dan Sultan Johor jika projek ini tidak wujud.

Dan apabila Forest City mulai didiami, permintaan dan kuasa membeli dari golongan berada akan mengalir kepada peruncit tempatan setiap hari.

Mereka yang menyerang projek Forest City ini seolah-olah membantu kepentingan jiran kita di selatan bukannya untuk kepentingan Kerajaan Negeri Johor atau pun Kerajaan Malaysia.

Eric-See-To
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...