Ahad, 11 Februari 2018

Rafizi, bekas kerani bank dipenjara 30 bulan dedah penyata akaun NFC


SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli atas kesalahan mendedahkan penyata akaun bank anak syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, pada 2012.

Hakim Zamri Bakar mendapati Rafizi dan seorang lagi tertuduh, Johari Mohamad yang juga bekas kerani bank bersalah di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan penyata akaun NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Salleh.

“Kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” katanya dalam penghakiman ringkas.


Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan peguam, Ahmad Nizam Hamid dan Latheefa Koya menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali meminta mahkamah menjatuhkan hukuman 6 bulan penjara dan denda RM500,000 ke atas Rafizi serta Johari.
Rafizi didakwa mendedahkan penyata akaun bank itu kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Naib presiden PKR itu didakwa mengikut Seksyen 97(1) Bafia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Rafizi ketika ditemui wartawan di luar mahkamah berkata, beliau “bersyukur dan lega” dijatuhkan hukuman penjara berbanding denda.

“Jika mahkamah menjatuhkan denda berat, saya mungkin tidak mampu bayar dan perlu ditahan terus.”

Jika dimasukkan ke penjara, katanya, beliau mungkin tidak dapat berkempen untuk Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Rafizi yakin rayuannya akan dibenarkan atas dasar teknikal.

Rafizi yang dihadapkan ke mahkamah pada Ogos 2012, hanya dibicarakan mulai tahun lalu kerana bekas pengarah strategi PKR itu memfailkan beberapa permohonan untuk mengetepikan pertuduhan itu di bawah Bafia yang sudah dimansuhkan dan mempersoalkan kesahihan akta itu.

Kerajaan menggantikan Bafia yang dimansuhkan pada 2013, dengan Akta Perkhidmatan Kewangan.
Pihak pendakwaan memanggil 19 saksi, manakala Rafizi dan Johari memberi pernyataan bersumpah.

Rafizi mempunyai satu lagi sabitan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 2016 kerana mendedahkan halaman ke-98 laporan audit 1MDB yang diklasifikasikan sulit dalam sebuah sidang media.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2016 dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Tinggi, Ogos lalu.
Bagaimanapun, beliau dibebaskan daripada dakwaan memiliki laporan audit itu.

Rafizi tidak boleh bertanding pada PRU14, jika gagal mengetepikan sabitan OSA bersama hukuman penjara 18 bulan dan juga hukuman hari ini di bawah Bafia.

Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli Parlimen akan hilang kelayakan selama 5 tahun, jika sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...