Ketua pembangkang Anwar Ibrahim kini dilihat semakin
terdesak, semata-mata untuk memastikan impiannya menjadi perdana menteri
tercapai apabila sanggup melakukan dan menghalalkan apa sahaja tindakan
sehingga menyemai sentimen kebencian malah menghasut penyokong pakatan
pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.
Ketika menghadiri satu siri ceramah mereka di Seremban
baru-baru ini, penulis terkejut dan tidak sama sekali menyangka bahawa Anwar
telah menyalahtafsirkan buku hasil karya terbaru Profesor Dr. Sheikh Yusuf
Al-Qaradawi yang bertajuk 'Kebangkitan Rakyat' sebagai rujukan menghalalkan
penentangan rakyat terhadap kerajaan.
Ucapan pemimpin ‘anugerah tuhan’ (gelaran yang dikurniakan
oleh isteri tercinta) itu seolah-olah mempunyai "agenda tersembunyi"
dengan cuba "mengekploitasikan" karya tersebut. Rakyat diajak untuk
menerima tafsiran jijik yang dibuat Anwar bahawa kebangkitan rakyat menetang
kerajaan adalah merupakan satu perkara yang dibenarkan Islam.
Hujah yang disandarkan kepada ulama Islam tersohor itu telah
dilacurkan oleh Anwar bagi untuk menyakinkan rakyat, kononnya tindakan mereka
bukanlah perkara yang keji malah merupakan sesuatu yang dibenarkan oleh Islam.
Sedangkan di masa yang sama Anwar gagal menerangkan secara keseluruhan
pandangan ulama tersebut. Apakah yang dimaksudkan dengan kebangkitan rakyat,
jenis pemerintahan yang bagaimana perlu ditolak, dalil apa yang perlu diguna
pakai dan sebagainya?
Walhal secara rational dan warasnya senario di ‘arab spring’
amat berlainan sekali jika hendak dibandingkan dengan negara ini. Setiap
perbandingan yang dilakukan hendaklah dilakukan secara adil dan menyeluruh
‘apple-to-apple comparison’. Apakah dikira adil sekiranya kita membandingkan
antara kancil dengan gajah? Malah di dalam Islam sendiri mentafsirkan
pengertian adil itu membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Di dalam disiplin pengajian ilmu sebagai contoh, kita
dituntut agar memahami sesuatu perkara itu secara keseluruhan dan bukan hanya
mencedok setengah dan meninggalkan yang lain. Malah pepatah Inggeris juga ada
menyebut ‘don’t judge a book by its cover’ yang membawa maksud penilaian
sesuatu buku hendaklah dibuat secara menyeluruh dan memahami apa maksud sebenar
yang ingin disampaikan oleh penulis.
Dalam ucapan tersebut, Anwar dilihat sudah berkira-kira
bahawa mereka akan tewas dan mustahil untuk mengekalkan momentum seperti yang
diperolehi di dalam PRU12. Tambahan pula masih banyak lagi perkara yang
terkandung di dalam ‘manifesto bukan janji’ yang dibentangkan pada 2008 lalu,
gagal dilaksanakan sehingga kini.
Maka dengan semua insiden yang berlaku di dalam negara
seperti nyanyian ‘Sabah Nak Hilang’, perjumpaan dengan Nur Misuari,
pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, kenyataan-kenyataan bersifat provokasi
dan sebagainya adalah antara faktor penting yang perlu diberi perhatian serius.
Malah mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad turut
menggesa pelbagai pihak agar memandang serius ugutan Ahli Parlimen Permatang
Pauh itu, yang berhasrat untuk menjadikan Kuala Lumpur seperti Dataran Tahrir
sekiranya gagal dalam percubaan untuk menjadi Perdana Menteri.
Memetik kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang turut
mendedahkan, perancangan jahat pembangkang untuk menimbulkan huru-hara pada
hari pengundian seterusnya meletakkan kesalahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) untuk dijadikan sebagai korban kambing hitam
Menurut Timbalan Perdana Menteri, huru-hara merupakan
sebahagian daripada perancangan jahat pembangkang untuk menawan Putrajaya
selepas tidak lagi yakin rakyat akan memilih mereka kerana gelombang sokongan
kini jelas berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
Jelas Muhyiddin, pendedahan itu bukan dakwaan semata-mata
kerana beliau sendiri telah melihat beberapa dokumen daripada sumber yang boleh
dipercayai bahawa Anwar dan parti pembangkang mempunyai niat tidak baik untuk
mencetuskan kekacauan pada hari pengundian kelak.