Pertanian adalah perniagaan. Dan pertanian lengkuas inilah yang memberi pendapatan kepada Boboy sehingga RM40,000 sebulan sungguhpun keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) beliau dahulu cuma 3B dan 1E sahaja
Gagal sekali bukan gagal selama-lamanya. Berkat usaha berterusan dan dedikasi, setiap orang boleh menempuh kejayaan cemerlang dalam kehidupan.
Boboy atau nama sebenarnya Ahmad Syawal Mispan, 33, bukanlah pelajar pintar yang berkesempatan untuk melanjutkan pelajaran di menara gading. Malah beliau hanya mendapat pendidikan sehingga tingkatan dua sebelum membuat keputusan untuk berhenti sekolah.
Walaubagaimanapun beliau tidak mensiasakan kudrat usia mudanya dan mula membanting tulang empat kerat mengusahakan tanah pertanian milik keluarganya seluas satu ekar dengan tanaman kacang buncis dan timun.
Kurang mendapat sambutan dan perolehan daripada jualan sayur tidak memuaskan, Boboy membuat keputusan untuk mengubah kepada tanaman lengkuas pula.
Berbekalkan tabungan hasil bekerja separuh masa sebagai pemandu eskavator dengan gaji RM45 sehari, Boboy akhirnya berjaya mengumpul RM3,300 dan membeli benih untuk disemai di tanah milik keluarganya beserta dua ekar lagi tanah dipajaknya.
"Permulaan tiga tahun tu memang tak nampak hasil dan cuma tumpukan untuk penambahan benih lengkuas berperingkat di atas tanah lima ekar dan kini 10 ekar.
"Akhirnya saya berjaya menjadi pembekal kepada pasar raya melalui Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) Kuala Langat dimana perlu membekalkan 20 tan lengkuas sebulan dengan keuntungan kasar mencecah RM40,000 sebulan," ujarnya.
Adat berniaga, ada kalanya untung dan ada kalanya rugi.
Dan Boboy tidak terkecuali mengalami kerugian sewaktu harga lengkuas hasil daripada permintaan yang menurun untuk seketika waktu, malah ada ketika langsung tidak mendapat permintaan daripada pasar raya.
"Kalau adapun tak banyak dan pernah satu bulan tu hanya mendapat keuntungan RM12,000 sahaja.. merudum teruk.
"Tapi orang kata rezeki ada di mana-mana dengan niat kita bantu orang, orang bantu kita, dan hari ini harga lengkuas mencecah RM2 hingga RM2.50 sekilogram," katanya.
Tips utama penanaman lengkuas kata Boboy adalah kawasan tanah gambut yang sesuai selain tidak jemu menuntut ilmu tambahan penjagaan tanaman.
Tambahnya, memiliki pekerja yang baik juga memberi kelebihan kepada penguasaha disamping bijak menilai orang tengah ketika membuat urusan jual beli.
"Alhamdulillah saya bersyukur dengan rezeki yang saya kecapi sekarang," katanya lagi.