Khamis, 24 April 2014

Wakil Rakyat DAP desak Tan Sri Khalid dipecat..!!


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi mendesak supaya pimpinan Pakatan Rakyat mengambil tindakan segera dengan memecat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.   

Desakan tersebut dibuat ekoran kekecewaan wakil rakyat DAP itu atas kegagalan Abdul Khalid dalam menangani masalah air di Selangor.
   

Dalam tulisan di laman Facebooknya, ahli parlimen ini berkata, ketika Selangor di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), masalah catuan air tidak berlaku seteruk ketika di bawah Pakatan Rakyat.
   

“Saya merupakan seorang pembayar cukai di Selangor sejak bertahun-tahun lamanya kerana saya memiliki rumah di Subang Jaya.
   

"Kami tidak pernah menghadapi catuan air yang berlarutan begitu lama seperti ini, malah semasa pentadbiran BN sekalipun.
   


"Kegagalan Pakatan adalah kegagalan Pakatan. Masa Khalid sudah tamat. Pecat orang tidak guna ini," katanya.
   

Beliau juga meminta wakil rakyat di Selangor membayangkan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat negeri itu sejak bermula masalah catuan air ini.
   

Bekalan air di Selangor mula dicatu sejak Mac lalu akibat empangan dikatakan mula kering kerana masalah kemarau.
   

Sebelum ini Abdul Khalid pernah membuat kenyataan Selangor tidak menghadapi masalah bekalan air mentah, sebaliknya berdepan masalah air yang dirawat.
   

Namun, apa yang berlaku kini, Selangor kini bukan hanya berdepan masalah air yang dirawat tetapi turut kekurangan bekalan air mentah. AWANI 


 

Jumaat, 4 April 2014

Johor nafi cuti hujung minggu kembali kepada Sabtu dan Ahad


BATU PAHAT: Kerajaan negeri Johor hari ini menafikan desas-desus kononnya cuti hujung minggu di negeri itu akan kembali semula ke hari Sabtu dan Ahad.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perubahan cuti minggu itu tidak timbul sama sekali walaupun ia heboh diperkatakan oleh rakyat negeri ini serta di laman sosial.


"Tidak ada isu seperti itu...jangan percaya kepada khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial," katanya selepas melancarkan program 'Road to MAHA 2014', peringkat negeri Johor, di Dataran Penggaram, di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan wartawan mengenai desas-desus yang hangat diperkatakan dalam laman media sosial sejak dua minggu lepas kononnya cuti hujung minggu di negeri itu akan diubah.


Cuti hujung minggu di Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Jan lepas atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim.


Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri sedang melihat potensi daerah Segamat untuk dibangunkan sebagai hab dalam bidang pertanian dan industri asas tani.


"Untuk merealisasikan rancangan ini, kita akan minta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menyediakan pelan induk mengenainya," katanya.


Beliau juga berkata kerajaan negeri sudah memberikan bantuan bernilai RM11.2 juta kepada 2,558 usahawan menerusi Program Galakan Usahawan sejak tahun 2002 hingga 2011.


Katanya, seramai 40 usahawan telah mencapai tahap pendapatan melebihi RM250,000 setahun dan selaras pencapaian itu, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah sebanyak RM1 juta tahun ini bagi program galakan berkenaan.-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...